
KUALA LUMPUR: Seorang murid lelaki berumur 11 tahun dari sekolah kebangsaan di ibu negara meninggal dunia semalam selepas dua hari mendapat rawatan apabila lemas ketika menjalani program sokongan keyakinan air di Kolam Renang Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, Rabu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) itu pada hari sama kejadian berlaku.
“Mangsa telah dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) namun disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang, semalam.
“Jenazah murid berkenaan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam As-Syuhada, Sungai Udang, Melaka dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan.