
KUALA LUMPUR: Polis memohon bantuan orang ramai mengesan seorang pelajar lelaki 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam.
Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin, berkata Muhammad Daniel Akmal Zulkhairi kali terakhir berada di kawasan Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Jalan Yaacob Latif, Cheras pada 12.30 tengah malam semalam.
“Polis menerima laporan kehilangan pelajar berkenaan pada 1.21 tengah hari Khamis,” katanya dalam kenyataan.
Beliau meminta orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi hotline Polis Cheras menerusi talian 03-92845050 atau 5051 dan hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999.