
Polis Greenland dalam kenyataan bertulis memaklumkan zon ketenteraan sementara itu diwujudkan bagi menyimpan peralatan Angkatan Tentera Denmark, dengan pemasangan pagar serta papan tanda amaran jelas di kawasan terbabit.
“Kawasan itu akan berada di bawah kawalan berterusan dan individu tanpa kebenaran dilarang masuk. Pertimbangan diberikan terhadap aspek keselamatan serta komuniti setempat, dengan papan tanda dan penghadang relevan dipasang bagi memberi panduan kepada pemandu serta pejalan kaki.”
Beberapa negara Eropah sedang mempertingkatkan kehadiran tentera mereka di Greenland menerusi latihan dan misi peninjauan memandangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan wilayah itu perlu “berada di bawah kawalan AS” bagi mengekang pengaruh Rusia dan China.
Dalam perkembangan terbaharu, Trump pada Sabtu berkata, Washington akan mengenakan tarif 10% ke atas barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom (UK), Belanda dan Finland bermula 1 Feb ini.
Kadar tarif itu dilaporkan akan meningkat kepada 25% menjelang Jun nanti susulan bantahan negara terbabit terhadap penguasaan AS ke atas Greenland.
Berikutan pengumuman itu, pemimpin Eropah termasuk Presiden Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah berikrar akan mengambil tindakan tindak balas selaras.
Greenland, wilayah tadbir sendiri di bawah kerajaan Denmark, telah lama menarik minat AS disebabkan kedudukan strategiknya dan sumber mineral luas, selain kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti Rusia dan China di rantau itu.