
Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, berkata siasatan lanjut susulan penemuan DNA daripada beberapa lelaki pada barang kes masih dijalankan, lapor Berita Harian.
“Selepas kita menyerahkan semula kertas siasatan kepada polis untuk dilengkapkan bagi mengesan pemilik DNA berkenaan, polis belum menyerahkan hasil siasatan.
“Kita tidak menetapkan tempoh tertentu, namun meminta polis menyelesaikan siasatan semula ini dengan kadar segera,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Tambahnya, beliau belum boleh mengulas lanjut mengenai maklumat atau kemungkinan lain berkaitan siasatan kes itu.
Pada 7 Jan lalu, ibu Wan Faris, Ruhani Hussin, berkata beliau masih belum menerima sebarang perkembangan selepas hampir lima bulan sejak kes anaknya dibuka semula pada Ogos tahun lalu.
Pada 17 Nov lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keterangan daripada 68 saksi telah dirakam sebagai sebahagian siasatan semula terhadap kes kematian pelajar Tingkatan 4 itu.
Pada 8 Dis, Dusuki menyatakan, pihaknya akan meneliti hasil siasatan sebaik ia selesai bagi menentukan faktor yang menyumbang kepada kematian Wan Faris, sama ada melibatkan unsur jenayah atau tidak.
Remaja itu ditemukan meninggal dunia di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas, Kelantan, pada 14 Dis 2013.
Walaupun pakar patologi forensik pada awalnya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut tanpa unsur jenayah, mahkamah koroner pada Jun 2016 memutuskan bahawa Wan Faris sebenarnya dibunuh.