
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, keempat-empat individu tersebut didakwa pada 22 Nov di Mahkamah Majistret Kuala Selangor.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua, jika sabit kesalahan.
“Polis buat lapan tangkapan dalam kes ini, empat telah didakwa,” kata Hussein kepada pemberita hari ini.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata, seorang daripada tiga anggota polis yang disyaki terbabit dalam penculikan itu telah digantung tugas.
Wartawan bebas yang melaporkan bagi pihak saluran TV Bangladesh terkemuka itu mendakwa, siasatannya berhubung sindiket pekerja asing dikendalikan oleh rakan senegaranya di sini menyebabkan beliau diculik dan diseksa bulan lepas.
Beliau mendakwa, penculiknya turut menuntut wang tebusan RM1.9 juta untuk beliau dibebaskan. Beliau bagaimanapun dilepaskan tiga hari selepas diculik apabila diketahui polis sudah hampir mengesan mereka.
Dalam insiden didakwa berlaku di sebuah rumah di Klang, Selangor, wartawan itu berkata, sekumpulan lelaki memukul, menyebat, menyepaknya di perut, serta mengikat tangannya.
Wartawan itu, yang enggan namanya didedahkan atas kebimbangan keselamatan, mendakwa pengalaman pahitnya bermula pada 7 Nov, apabila tiga individu mengaku sebagai pegawai dari Bukit Aman mengambilnya dari rumahnya dekat Putrajaya untuk disoal siasat.
Beliau mendakwa dibawa ke sebuah rumah berhampiran Kapar dan dipukul “setiap jam”.
Beliau hanya berhenti dipukul apabila bersetuju untuk bekerjasama dan memberi suspek “apa sahaja mereka mahu”, termasuk wang simpanannya berjumlah hampir RM50,000.
Menurut mangsa, penculiknya tidak puas hati kerana beliau bertanya “soalan sukar” kepada beberapa ejen buruh Bangladesh dalam program siaran langsung di TV.