Sekolah vernakular guna bahasa Tamil, Mandarin sah di sisi Perlembagaan, kata mahkamah

Sekolah vernakular guna bahasa Tamil, Mandarin sah di sisi Perlembagaan, kata mahkamah

Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan empat kumpulan berkepentingan Melayu-Islam memohon untuk mengisytiharkan ia tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Panel hakim Mahkamah Rayuan berkata, sekolah vernakular sudah lama diiktiraf dalam kerangka kerja perundangan sistem pendidikan negara.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan empat kumpulan berkepentingan Melayu-Islam memohon untuk mengisytiharkan penggunaan bahasa Mandarin atau Tamil di sekolah vernakular tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Azizul Azmi Adnan berkata, sekolah vernakular sudah lama diiktiraf dalam kerangka kerja perundangan sistem pendidikan negara sebelum merdeka dan kewujudan Perlembagaan pada 1957.

Katanya, sekolah vernakular bukannya pihak berkuasa awam seperti universiti, justeru penggunaan bahasa pengantar bukan Melayu untuk pengajaran bukan untuk tujuan rasmi.

Panel tiga hakim itu diketuai Hakim Supang Lian, yang turut bersidang bersama Hakim M Gunalan.

Tiada kos diarahkan kerana ia kes berkepentingan awam.

Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (I-Guru) memfailkan rayuan terhadap penghakiman dua Mahkamah Tinggi berbeza.

Mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penubuhan sekolah vernakular menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama, tidak konsisten dengan Perkara 152(1) Perlembagaan.

Mereka juga mahu sekolah vernakular ditukar kepada sekolah kebangsaan dalam tempoh enam tahun dan murid di sekolah terbabit mempelajari bahasa Tamil di Tahun Satu dan Dua, Mandarin di Tahun Tiga dan Empat serta bahasa Arab di Tahun Lima serta Enam.

Azizul berkata, sebaik saja Perlembagaan berkuat kuasa pada 1957, Tanah Melayu yang merdeka terus “memelihara dan mengekalkan” pengajaran bahasa Tamil serta Mandarin di sekolah vernakular.

Katanya, kerajaan persekutuan turut mengiktiraf peranan Perlembagaan terus memelihara dan mengekalkan penggunaan bahasa itu.

Hakim berkata, kewujudan sekolah vernakular dan peruntukan berkaitan dalam Akta Pendidikan tidak melanggar mana-mana peruntukan asas kebebasan dalam Bahagian 11 Perlembagaan.

Mahkamah turut mengesahkan penghakiman dibuat Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam.

Nazlan membandingkan kes ini dan kes Universiti Merdeka, di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan universiti mempunyai unsur awam, justeru ia adalah “pihak berkuasa awam”.

Dalam penghakimannya pada 29 Dis 2021, Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menolak saman difailkan Mappim, Gapena dan Isma.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Abazafree Abbas, yang kini hakim Mahkamah Tinggi, turut menolak saman I-Guru pada Mei 2022.

Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin mewakili kerajaan dalam rayuan ini. Peguam Haniff Khatri Abdulla mewakili Mappim dan Gapena; Khairul Azam Abdul Aziz dan Shahrudin Ali mewakili Isma; serta Ramesh NP Chandran mewakili I-Guru.

Beberapa kumpulan berkepentingan, termasuk Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, MCA serta Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, dinamakan pencelah dalam saman itu.

Haniff, yang bercakap bagi pihak empat perayu, mempunyai 30 hari mulai hari ini untuk memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

“Kami akan bincang dan merangka soalan undang-undang baharu untuk mahkamah mendengar merit rayuan itu,” katanya.

Peguam Bastian Pius Vendargon, yang mewakili Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, berkata apa yang berlaku seterusnya berdasarkan persoalan undang-undang dikemukakan di mahkamah tertinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.