
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Wan Zulfadli Wan Zain, 42, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan dan mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh membayar denda itu.
Azura turut menasihatkan tertuduh agar insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
“Kamu patut bersyukur kerana kamu ada pilihan untuk diberi pertuduhan yang lebih ringan daripada pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya harap kamu menggunakan peluang tersebut dengan sebaiknya, perbaiki diri kamu dan mulakan kehidupan baharu,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, pada 11 Mac 2019, Bahagian Perisikan SPRM membuka satu aduan berkaitan Ops Japan iaitu aduan membabitkan sindiket permintaan dan penawaran wang rasuah melibatkan pegawai di JPN Kuala Lumpur (KL) dan “runner” (orang tengah) bagi menyelesaikan urusan berkaitan pengeluaran dokumen pengenalan diri oleh jabatan tersebut.
Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa sebagai pembantu pendaftaran kanan Gred KP22 yang bertugas di JPN, UTC Pudu menerima suapan RM2,000 daripada Sim Eng Hua melalui seorang lelaki sebagai upah membantu mempercepatkan proses kad pengenalan seorang remaja sedangkan kelahirannya di sebuah klinik bersalin adalah diragui.
Kesalahan itu dilakukan di gerai makan bersebelahan Hotel Ancasa, Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini, pada 6 Okt 2020, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semasa rayuan untuk meringankan hukuman, Wan Zulfadli yang tidak diwakili peguam merayu supaya dia hanya dikenakan hukuman denda yang rendah memandangkan dia penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara isterinya yang cacat penglihatan serta dua anak.
“Isteri saya orang kurang upaya penglihatan dan tidak bekerja. Saya yang menguruskan rumah dan persekolahan anak-anak. Saya mohon hukuman denda yang rendah kerana saya tak ada banyak duit,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon hukuman setimpal bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh, malah sebagai amaran dan peringatan kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.