
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata pelaksanaan sesuatu program ataupun projek hendaklah dilakukan dengan berintegriti dan rapi.
“Penyiapan program atau projek mengikut jadual akan menghasilkan kesan berganda khususnya menggerakkan ekonomi di peringkat akar umbi.
“Justeru, peranan agensi pusat, kementerian dan jabatan amat penting bagi memperkemas dan memperkukuhkan penyelarasan serta memastikan keberkesanan dasar dan inisiatif kerajaan yang dirancang,” katanya merasmikan Majlis Anugerah Pembangunan Negara.
Teks ucapannya dibacakan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Mohd Zuki turut menghargai komitmen KSU dan semua ketua pengarah dalam menguruskan program atau projek tanpa membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan tugas sebagai penjawat awam.
Sementara itu, beliau memaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menaruh kepercayaan yang tinggi kepada penjawat awam berbanding perunding luar (outsource).
Menurutnya, atas kepercayaan itu Anwar mengamanahkan penjawat awam untuk melaksanakan projek kecil dan penyelenggaraan di Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi pemerkasaan pelaksanaan projek persekutuan di peringkat negeri dan daerah.
“Bagi Projek Penyelenggaraan Kecil KPM sehingga 31 Oktober 2023, sebanyak 8,109 projek atau 97.1 peratus sudah memperoleh surat setuju terima (SST) berbanding keseluruhan 8,354 projek.
“Projek yang berstatus siap adalah sebanyak 4,764 projek, yang mana 3,018 projek dalam pembinaan dan 328 projek digugurkan pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata, angka terbabit menunjukkan komitmen padu daripada semua pihak yang berikhtiar untuk menjayakannya hingga projek siap pada akhir tahun ini.