KPM bincang hadkan jumlah guru sertai kegiatan luar sekolah

KPM bincang hadkan jumlah guru sertai kegiatan luar sekolah

Perkara akan dibincang sebagai langkah kurang beban tugas guru, kata Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad.

Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad
Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad berkata, KPM akan bincang had guru sertai kegiatan luar sekolah untuk kurangkan tugas mereka. (Gambar Bernama)
JASIN:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perbincangan bagi mengehadkan jumlah guru menyertai kegiatan luar sekolah, kata Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad.

Beliau berkata langkah itu diambil dalam usaha mengurangkan beban tugas pendidik yang sering dilibatkan dalam tugasan luar sekolah.
,
“Sebenarnya, satu hari berapa orang cikgu boleh pergi, tak ada (tiada di sekolah) untuk (menyertai) aktiviti-aktiviti ini pun kita akan berbincang,” kata selepas merasmikan Program Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 di Politeknik Merlimau, Jasin.

Khamis lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, kementerian itu menggariskan tujuh langkah bagi mengurangkan beban tugas guru termasuk memansuhkan acara tidak berimpak tinggi dan melantik orang awam sebagai pengawas peperiksaan.

Katanya, isu berpanjangan itu, yang sememangnya menjadi fokus beliau, sejak mula berkhidmat di KPM, memerlukan penyelesaian yang menyeluruh.

Mohd Azam berkata, guru besar dan pengetua juga diminta menyusun strategi dalam menyelaraskan kegiatan membabitkan guru agar lebih terkawal dan tidak menambah tanggungjawab sedia ada mereka.

“Saya fokuskan murid dan pelajar kita datang sekolah, mesti dapat hak mereka untuk belajar dan guru-guru tidak payah pening-pening kepala (untuk program bukan berimpak tinggi).

“Perkara lain yang tidak profesional dan tiada kaitan dengan aktiviti pembelajaran dan murid (boleh) tinggalkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.