
Komited mencegah perbuatan yang mencalar integriti jabatan itu, Ruslin turut memberi jaminan pihaknya akan berkerjasama penuh dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam menangani 38 aduan kes membabitkan kakitangannya.
“Kami sedang menunggu maklumat lengkap berkaitan aduan daripada EAIC ini untuk menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan EAIC bahawa 176 aduan diterima mengenai pelbagai jabatan penguat kuasa, paling banyak membabitkan Jabatan Imigresen.
Pengerusi EAIC Ismail Bakar berkata, antara aduan utama dikenal pasti adalah mengenai aduan atau laporan yang tidak diambil tindakan sewajarnya (59), tindakan tidak mengikut SOP (37); salah guna kuasa (24); tiada klasifikasi/tiada salah laku (23); dan rasuah (19).
Selain Jabatan Imigresen, aduan turut diterima berhubung Jabatan Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Perikanan; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sementara itu, Ruslin memaklumkan pihaknya melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkemas aspek perkhidmatan termasuk dengan menggabungkan aplikasi kecerdasan buatan (AI), selain mengurangkan campur tangan manusia dalam operasi hariannya .
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemasangan sistem dan mesin automatik, sistem kod QR di pusat pemeriksaan utama, peluasan keupayaan transaksi dalam talian, serta menghentikan keperluan mengunjungi pejabat bagi lebih 70% perkhidmatan Imigresen.
Katanya lagi, pihaknya juga menambah kamera litar tertutup (CCTV) dan kini dalam proses membekalkan pegawai penguat kuasa dengan kamera badan.
Ruslin berkata, pengurusan tertinggi turut mengadakan pemeriksaan berkala di semua pejabat Jabatan Imigresen untuk mengesan ketidakpatuhan.
“Unit integriti (juga) ditubuhkan di setiap negeri untuk menjalankan audit dan cadangan penambahbaikan berterusan, serta SOP dikemas kini untuk memastikan transaksi dan perkhidmatan dijalankan dengan cepat, cekap dan telus, tidak meninggalkan ruang untuk eksploitasi,” katanya.