Kastam nafi KP, keluarga bercuti guna dana kerajaan

Kastam nafi KP, keluarga bercuti guna dana kerajaan

Kastam berkata percutian Ketua Pengarahnya Anis Rizana Mohd Zainudin bersama keluarga ke Bangkok ditanggung sepenuhnya oleh beliau sendiri.

Anis Rizana
Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin bercuti ke Bangkok atas urusan peribadi selepas permohonan berkaitan diluluskan ketua setiausaha perbendaharaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam menafikan dakwaan bahawa Ketua Pengarahnya Anis Rizana Mohd Zainudin menyalahgunakan dana kerajaan untuk bercuti ke Bangkok bersama keluarganya.

Jabatan itu berkata dakwaan tersebut yang ditularkan di platform media, baru-baru ini sebagai tohmahan dan fitnah tidak berasas, lapor Berita Harian.

Kastam juga menegaskan tiada sebarang peruntukan jabatan digunakan bagi membiayai kos penerbangan, penginapan atau kos lain berkaitan perjalanan Anis Rizana dan keluarga ke Bangkok, sebaliknya ia ditanggung sepenuhnya oleh beliau sendiri.

Menurutnya, Anis Rizana ke Bangkok atas urusan peribadi selepas permohonan berkaitan diluluskan ketua setiausaha perbendaharaan (KSP) selaku pegawai pengawal jabatan itu.

“Anis Rizana mengambil cuti selama dua hari pada 30 Okt dan 1 Nov lalu, diluluskan melalui Sistem HRMIS, selaras Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia – Kemudahan Cuti, Ceraian SR.5.1.1.

“KSP juga meluluskan permohonan Anis Rizana ke luar negara atas urusan peribadi mengikut Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2012, Peraturan Perjalanan Pegawai Awam ke Luar Negara atas Urusan Persendirian,” katanya.

“Ketika berada di Bangkok beliau mengambil peluang untuk menghadiri kejohanan tinju antarabangsa bagi menyokong dan memberi semangat kepada warga kastam, Adli Hafidz yang mewakili Malaysia”.

Katanya, adalah menjadi amalan Anis Rizana untuk sering memberi sokongan padu serta semangat kepada warga jabatan itu dalam mencapai kejayaan cemerlang.

Susulan dakwaan itu, kastam membuat laporan polis bagi menjaga nama baik dan imej jabatan serta Anis Rizana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.