
“Kerja baik pulih gangguan sistem pintu di stesen Merdeka telah selesai.
“Jadual perjalanan sedang diselaraskan dan perkhidmatan tren akan beroperasi normal seperti biasa sebentar lagi,” kata RapidKL dalam kenyataan ringkas.
Terdahulu, penumpang mengadu di media sosial terpaksa menunggu lebih lama petang tadi kerana perkhidmatan tren MRT Laluan Kajang mengalami gangguan akibat kerosakan pintu automatik di stesen Merdeka.
Seorang pengguna X berkata, masa menunggu tren seterusnya ialah 16 minit.
RapidKL dilaporkan berkata, tren dari stesen Kajang ke Merdeka akan mengambil masa lebih lama berbanding kebiasaan.
“Perkhidmatan tren di kawasan lain beroperasi normal. Kami memohon maaf atas kesulitan ini.”
RapidKL kemudian berkata, kerja baik pulih selesai pada 6.57 petang tadi dan perkhidmatan laluan MRT Kajang kembali pulih secara berperingkat.
“Bagi mengurangkan kesesakan penumpang di kawasan platform, pihak operasi telah menghantar tren kosong ke stesen Pasar Seni dan Bukit Bintang.
“Siasatan menyeluruh akan dijalankan malam ini selepas tamat waktu operasi bagi mengenal pasti faktor menyebabkan gangguan pada sistem pintu keselamatan platform,” katanya dalam kenyataan berasingan.