Gangguan sistem di pintu masuk Johor-Singapura, urusan warga asing tergendala

Gangguan sistem di pintu masuk Johor-Singapura, urusan warga asing tergendala

Warga asing dilaporkan menunggu sehingga dua jam untuk menyelesaikan proses imigresen di CIQ BSI.

Bangunan-Sultan-Iskandar
AKPS dilapor diarah membuka kaunter manual di BSI susulan gangguan sistem. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gangguan sistem menyebabkan pintu automatik imigresen di dua pusat pemeriksaan darat Johor-Singapura tergendala, menyebabkan puluhan ribu warga asing menunggu dalam barisan yang panjang.

Menurut laporan The Star, pengembara terpaksa menunggu sehingga dua jam untuk menyelesaikan proses imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.

Difahamkan terdapat masalah pada mesin-mesin di BSI sejak beberapa hari kebelakangan ini, namun ia mengalami kegagalan sepenuhnya hari ini susulan kemasukan besar-besaran pengembara yang melintasi tambak dari Singapura ke Johor.

Bagaimanapun, warga Malaysia dilaporkan masih boleh menggunakan pintu automatik, manakala sistem pelepasan untuk motosikal dan kereta berfungsi seperti biasa.

Di Laluan Kedua (Second Link) Iskandar Puteri, pintu automatik Kompleks Sultan Abu Bakar turut terjejas, namun seorang pegawai menyatakan keadaan di sana masih terkawal berbanding di BSI.

“Malah pintu automatik di stesen KTM di BSI juga ‘offline’. Ini merupakan gangguan besar pertama tahun ini, dan masanya sangat tidak sesuai memandangkan kita menerima ramai pelawat asing sempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026,” kata pegawai tersebut.

Susulan gangguan, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan diarah untuk membuka kaunter manual sebagai alternatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.