
Ia hasil projek rintis penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kamera papan pemuka yang dipasang pada bas RapidKL bagi mengesan pencerobohan lorong bas dan teksi untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan bertrafik tinggi.
Ketua Inisiatif dan Kerjasama Strategik Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), Zainurul Hakim, berkata projek rintis bermula Oktober lalu yang dijangka berakhir Mac ini membabitkan tiga koridor di Jalan Ampang, Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama, dengan sebuah bas bagi setiap koridor.
Katanya, kajian awal mendapati tahap pencerobohan tinggi menyebabkan kesesakan dan menjejaskan ketepatan jadual perkhidmatan bas.
“Sepanjang tempoh percubaan, secara purata lebih 1,300 kes pencerobohan lorong bas dikesan, namun tiada tindakan penguatkuasaan diambil setakat ini kerana fokus utama adalah penilaian teknikal dan kesedaran awam,” katanya menurut Berita Harian.
Menurutnya, rakaman itu akan dinilai dari segi ketepatan, kejelasan imej siang dan malam serta keberkesanan pengesanan kesalahan dalam semua keadaan cuaca, sebelum diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan bagi menilai kesesuaiannya sebagai bahan bukti di sisi undang-undang.
Tegasnya, pendekatan berasaskan teknologi itu bukan untuk menghukum, sebaliknya bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Selain penguatkuasaan, penambahbaikan infrastruktur turut dirancang, termasuk pemasangan papan tanda berserta lampu amaran dan struktur ganti paparan iklan bagi meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya mengenai lorong khas bas dan teksi.”
Katanya, pemasangan kamera papan pemuka dijangka diperluaskan kepada 50 bas lagi tahun ini, tertumpu kepada koridor lorong bas sedia ada.
“Selain itu, tiga lagi koridor atau jajaran baharu lorong khas bas dan teksi akan dilaksanakan dalam tempoh 2026-2027 membabitkan Jalan Gombak, Jalan Ipoh dan Jalan Cheras,” katanya sambil menambah pelaksanaan penuh sistem itu bergantung kepada peruntukan kewangan dan pemuktamadan kerangka perundangan yang dijangka mengambil masa satu hingga dua tahun.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Muzammer Jamaluddin, berkata 23 notis kompaun dikeluarkan di bawah Kaedah 17C (1) Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 kepada pemilik kenderaan sepanjang tahun lalu atas kesalahan memandu di lorong bas dan teksi.
Daripada jumlah itu, katanya, tiga notis kompaun sudah dibayar dan baki 20 lagi belum dibayar dengan denda terkumpul berjumlah RM6,000.
Beliau berkata, kadar kompaun bagi kesalahan itu adalah RM300 dan hasil pemerhatian mendapati tiada kenderaan sama melakukan kesalahan berkenaan.
“Pada masa ini, DBKL tiada perancangan meningkatkan kadar kompaun bagi kesalahan ini memandangkan individu dikenakan kompaun tidak lagi mengulangi kesalahan sama selepas dikenakan tindakan penguatkuasaan.”