
Menjawab hantaran yang tular di media sosial, MAHB menjelaskan bahawa perkhidmatan itu hanya digantung sementara pada jam 11 pagi tadi selepas hujan lebat menyebabkan air bertakung dalam terowong laluan tren.
Bagaimanapun, pergerakan penumpang ke terminal satelit tidak terjejas kerana perkhidmatan bas ulang-alik disediakan sepanjang tempoh itu.
“Sistem saliran terowong kami dilengkapi pam untuk menyalurkan air keluar ketika cuaca buruk. Namun, salah satu pam mengalami kerosakan teknikal hari ini, sekali gus menghalang air daripada disedut keluar secara automatik.
“Sebagai langkah keselamatan, operasi tren digantung sehingga air disedut keluar secara manual dan trek disahkan selamat digunakan. Perkhidmatan disambung semula pada 12.15 tengah hari selepas kelulusan penuh diberikan oleh pasukan teknikal dan keselamatan,” kata MAHB dalam satu kenyataan.
MAHB turut memaklumkan bahawa pasukan teknikal akan terus memantau sistem itu dan akan melaksanakan sebarang pelarasan operasi secara serta-merta jika diperlukan.
“Kami menghargai kesabaran dan kerjasama anda ketika kami memperhalusi sistem baharu ini,” katanya.
Sebelum ini, pengguna Facebook, Ahmad Ramadzan Soid mendakwa salah satu tren itu rosak, walaupun satu lagi tren masih beroperasi. Netizen lain pula mendakwa pintu tren tersangkut akibat tindakan seorang penumpang.
Hari ini, penulis blog pelancongan CK Ng memuat naik hantaran menyatakan bahawa tren tidak beroperasi dan penumpang dibawa ke terminal satelit menggunakan bas.
Aerotrain sebelum ini menjadi tulang belakang sistem pengangkutan dalaman KLIA sejak 1998, tetapi dihentikan pada 2023 selepas mengalami kerosakan.
Sejak itu, penumpang di KLIA Terminal 1 dipindahkan ke terminal satelit – yang menempatkan kebanyakan penerbangan antarabangsa – dengan menaiki bas.
Perkhidmatan Aerotrain baharu mula beroperasi pada 1 Julai lalu, melibatkan tiga tren dengan kapasiti maksimum 270 penumpang setiap satu.