Rotan anak tiri gagal jawab soalan matematik, lelaki didenda RM10,000

Rotan anak tiri gagal jawab soalan matematik, lelaki didenda RM10,000

Lelaki berusia 38 tahun itu juga diarah menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam.

Mahkamah Sesyen turut memerintah tertuduh mengikuti sesi kaunseling. (Gambar Pexel pic)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku salah merotan anak tirinya berusia enam tahun kerana gagal menjawab soalan matematik.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman denda terhadap tertuduh berusia 38 tahun itu, selain diarah menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda dan berkelakuan baik dengan bon jaminan tanpa cagaran selama lima tahun.

Tertuduh juga diarah serta menjalani khidmat kaunseling keibubapaan dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memukul kanak-kanak lelaki itu menggunakan rotan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah rumah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, 6 pagi pada 23 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan ibu bapa lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

“Gelaran ayah (ayah tiri) bukan lesen untuk memukul mangsa sedemikian bagi tujuan mendisiplinkan mangsa.

“Mangsa beritahu ayahnya yang pukul dan hanya kerana kesalahan Matematik mangsa tidak sepatutnya dipukul seperti itu,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Arik Zakri Abdul Kadir yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guam perlu menanggung keluarga dan memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.