
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam kenyataan memaklumkan, Kenari Utara Travel & Tours mengaku bersalah atas dua tuduhan, iaitu menjual bas persiaran bernombor pendaftaran PLD 8892 dan menyewakan permit kenderaan itu kepada Noreen Maju Trading, sebuah syarikat yang mengendalikan kegiatan pelancongan tanpa lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Hakim Mahkamah Majistret Gerik Tuan Muhammad Firdaus Nor Azlan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap tuduhan, dan kegagalan membayar denda boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun.
Noreen Maju Trading merupakan syarikat yang mengendalikan bas yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun lepas.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Zulaikha Mahadi bersama Pegawai Pendakwa Motac Nurul Hidayah Aman.
Sehubungan itu, Motac menegaskan bahawa pelanggaran Akta 482 dan peraturannya merupakan satu kesalahan jenayah yang serius.
“Kementerian komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan dan integriti industri pelancongan negara,” katanya.