TMJ tanggung semua kos FAM, pemain warisan rayu CAS

TMJ tanggung semua kos FAM, pemain warisan rayu CAS

Pemangku Sultan Johor bertitah baginda tak bimbang tindakan balas ekoran kritikannya terhadap Fifa.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kos rayuan FAM dan pemain warisan skuad kebangsaan kepada CAS susulan tindakan Fifa akan ditanggungnya sendiri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedia menanggung semua kos rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) susulan dakwaan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bahawa mereka menggunakan dokumen palsu.

Pemangku Sultan Johor memberitahu Utusan Malaysia, baginda tidak bimbang dengan sebarang tindakan balas daripada badan induk bola sepak dunia itu ekoran kritikan lantangnya baru-baru ini.

“Saya tanggung semua, bukan duit rakyat,” titahnya apabila ditanya sama ada baginda bersedia membantu FAM dan tujuh pemain terlibat susulan tindakan Fifa.

“Tidak (bimbang dikenakan tindakan Fifa). Silakan.”

FAM dan tujuh pemain bola sepak warisan Malaysia dikenakan tindakan oleh Fifa bulan lalu selepas FAM didapati mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

Pemain terbabit terdiri Gabriel Felipe Arrocha; Facundo Tomás Garcés; Rodrigo Julián Holgado; Imanol Javier Machuca; João Vitor Brandão Figueiredo; Jon Irazábal Iraurgui; dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

FAM didenda 350,000 Swiss franc (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 Swiss franc (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan.

Pada Isnin, Fifa menolak rayuan FAM dan mengekalkan semua tindakan.

Pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi, berkata pihaknya akan menulis surat kepada Fifa untuk mendapatkan alasan bertulis penuh bagi keputusan itu sebelum membuat rayuan kepada CAS.

Semalam, Tunku Ismail mendakwa Fifa tersalah guna peraturan sendiri ketika mengambil tindakan terhadap tujuh pemain warisan terbabit, dan menyifatkan penggantungan setahun itu ‘berunsur politik’,

Baginda dalam hantaran Instagram berkata, Artikel 22 Kod Disiplin Fifa hanya terpakai kepada individu memalsukan atau menggunakan dokumen palsu, yang menurutnya bukan perkara berlaku dalam kes pemain terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.