
Pengarahnya, Dr Asits Sanna berkata pihaknya menjalankan siasatan segera susulan laporan portal itu semalam bertajuk “Baby snatching: How stateless mums lose their infants in Sabah hospital”.
Beliau berkata, JKN Sabah mendapati dakwaan itu tidak benar dan tidak berlaku di mana-mana hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di Sabah, justeru laporan polis dibuat di IPD Lahad Datu memandangkan kes itu dikatakan berlaku di hospital daerah berkenaan.
“JKN Sabah mengambil perhatian serius berhubung dakwaan tersebut dan memberi jaminan kepada semua pelanggan di fasiliti JKN Sabah bahawa keselamatan dan kebajikan pelanggan keutamaan jabatan.
“Setiap pesakit yang mendapat rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan akan diberi layanan saksama berdasarkan peruntukan undang-undang dan peraturan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bagi kes bayi dan kanak-kanak ditinggalkan atau terabai, pihak hospital akan merujuk pegawai pelindung kanak-kanak selaras peruntukan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).
Katanya, JKN Sabah menjamin memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung kes itu.