Rumah disimbah cat merah, pesuruhjaya PAS Sabah lapor polis

Rumah disimbah cat merah, pesuruhjaya PAS Sabah lapor polis

Aliakbar Gulasan berkata, laporan dibuat agar polis dapat siasat jika ada unsur khianat, selain pastikan keselamatan diri dan keluarganya.

aliakbar gulasan
Susulan rumahnya disimbah cat merah, Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan berkata, beliau tidak tuduh mana-mana pihak, cuma harap kejadian itu tidak berulang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan membuat laporan polis berikutan kediamannya disimbah cat merah oleh pihak yang tidak dikenali.

Beliau berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan polis menyiasat sekiranya terdapat unsur khianat dalam insiden tersebut, selain mahu memastikan keselamatan diri dan keluarganya.

“Hari ini saya buat laporan polis sebab pagi tadi saya lihat pagar rumah saya disimbah cat, ada satu nota merah bertulis ‘Datuk’,” katanya di Facebook, menambah laporan dibuat di Balai Polis Alam Mesra, Kota Kinabalu.

“Seolah-olah kalau perkara ini berlaku merupakan satu ancaman, mungkin ugutan. Cuma secara peribadi saya tak menuduh mana-mana pihak yang melakukan perkara ini, cuma saya berharap jangan lagi berulang perkara seumpama ini.”

Tambahnya, jika perbuatan itu dilakukan kerana perbezaan politik, ia merupakan pendekatan lama yang tidak sihat.

“Biar kita beramal (politik) dengan demokrasi yang sihat, tenang, aman. Saya secara peribadi tak pernah dalam kempen-kempen atau dalam ceramah menyebut nama orang, caci maki atau guna perkataan kesat.

“Saya rasa kita bawa pergerakan kita dalam pentas politik, terutamanya kaedah dan nilai baik, santun dan saling hormat menghormati, itu lebih baik. Kita bawa Sabah untuk masa depan lebih tenteram dan lebih aman,” katanya.

Aliakbar merupakan Adun lantikan kerajaan pimpinan Hajiji Noor.

Pada Muktamar Tahunan PAS hujung minggu lepas, Perwakilan Shah Alam Mohamed Sukri Omar mencadangkan Aliakbar dinamakan calon ketua menteri Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN Sabah akan datang.

Susulan itu, Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah Nabila Norsahar berkata, Aliakbar harus terlebih dahulu membuktikan kewibawaannya sebelum boleh dicalonkan menjadi ketua menteri.

Tambahnya, PAS tidak pernah menang sebarang kerusi di Sabah, sebaliknya hanya mempunyai Adun lantikan seperti Aliakbar.

Awal hari ini dilaporkan PAS Sabah tidak pernah membincangkan isu berkaitan cadangan memilih Aliakbar sebagai calon ketua menteri.

Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah Hendri Hamsah berkata, segala keputusan mengenai kepimpinan negeri hanya akan dibincangkan secara muafakat dalam gabungan PN selepas menang pilihan raya, lapor Sinar Harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.