Susulan dakwaan ada ‘tikus’, Tei lapor SPRM berhubung sekatan masuk Sabah

Susulan dakwaan ada ‘tikus’, Tei lapor SPRM berhubung sekatan masuk Sabah

Albert Tei dakwa dihalang oleh kerajaan negeri daripada memasuki Sabah, walaupun perlu hadir prosiding mahkamah.

Albert Tei
Ahli perniagaan Albert Tei berdepan 2 tuduhan beri rasuah RM350,000 kepada dua Adun berkaitan permohonan lesen cari gali mineral di Sabah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sehari selepas membuat dakwaan wujudnya ‘tikus’ di agensi antirasuah, ahli perniagaan Albert Tei membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung larangan memasuki Sabah.

Tei mendakwa senarai hitam itu dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri bulan lepas, walaupun terdapat prosiding mahkamah yang perlu dihadirinya, lapor Daily Express.

“Sekiranya saya tidak dapat hadiri (prosiding) kes itu, ia mungkin akan dibatalkan,” katanya di luar mahkamah khas rasuah di Kota Kinabalu hari ini.

“Keadaan ini seterusnya akan beri kelebihan kepada pihak-pihak yang sedang berdepan tuduhan.”

Tei kini sedang berdepan dua tuduhan memberikan rasuah RM350,000 kepada dua Adun berkaitan permohonan lesen cari gali mineral di Sabah.

Peguamnya, Mahajoth Singh, menyatakan bahawa Tei tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 12.30 tengah hari, Ahad lepas, bagi tujuan menghadiri sebutan kes di mahkamah pada hari berikutnya.

Setibanya di sana, Tei ditahan dan dimaklumkan dia dilarang daripada memasuki negeri itu.

Menurut Mahajoth, Tei kemudiannya dibenarkan masuk ke Sabah selama dua hari selepas mengemukakan dokumen-dokumen membuktikan dia perlu menghadiri prosiding mahkamah.

Susulan itu, Tei mendakwa terdapat ‘tikus’ dalam kalangan warga SPRM yang membocorkan kenyataannya kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Beliau turut mendakwa Hajiji ada merujuk kepada kenyataan yang diberikannya kepada SPRM itu dalam sebuah majlis pada Disember.

Tei kemudian membuat laporan polis di bawah Akta Rahsia Rasmi, serta Seksyen 203A Kanun Keseksaan bagi kesalahan pendedahan maklumat yang diperoleh semasa pelaksanaan tugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.