Buat laporan polis jika MyKad disalah guna, penerima SARA diberitahu

Buat laporan polis jika MyKad disalah guna, penerima SARA diberitahu

Baki sumbangan akan dipulangkan kepada penerima selepas siasatan sahkan berlaku salah guna, kata menteri KDN.

SARA BANTUAN 100
Penerima SARA digesa buat laporan polis jika dapati MyKad disalah guna.
PUTRAJAYA:
Penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mendapati MyKad mereka disalah guna diminta segera membuat laporan polis bagi membolehkan baki bantuan dikembalikan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, baki sumbangan akan dipulangkan kepada penerima yang terlibat selepas siasatan mengesahkan penyalahgunaan tersebut.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan hak penerima dikembalikan selepas laporan polis dibuat.

“SARA ialah hak rakyat, dan kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana penerima yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyalahgunaan identiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, JPN dan Kementerian Kewangan kini bekerjasama menyelesaikan isu teknikal berkaitan pengesahan dan keselamatan MyKad bagi memastikan penyaluran subsidi bersasar seterusnya dapat dijalankan tanpa masalah.

Antara langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan termasuk pemadanan data MyKad secara berkala, semakan versi kad bagi mengelak penebusan palsu serta peningkatan keselamatan infrastruktur digital JPN.

“Kerajaan Madani komited memastikan pelaksanaan subsidi bersasar berjalan secara telus, selamat dan adil. KDN bersama Kementerian Kewangan terus menambah baik sistem pengesahan identiti dan keselamatan data agar setiap sen bantuan disalurkan kepada rakyat yang layak – tanpa gangguan, penyelewengan atau kehilangan hak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.