
SKMM dalam kenyataan berkata Kementerian Komunikasi Digital dan agensi itu telah mengadakan perbincangan dengan platform dalam talian utama seperti Meta dan Google bagi mewujudkan rangka kerja pelesenan dan kawal selia.
“Cabaran yang dihadapi termasuk penyebaran kandungan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak, perjudian dalam talian, kandungan yang menyentuh agama, kaum dan raja (3R), penipuan dan pancingan data.
“Selain itu, penjualan serta promosi bahan terlarang seperti dadah, penyamaran, serta penyebaran maklumat dan berita palsu,” menurut SKMM.
Perbincangan yang diadakan di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya semalam, dipengerusikan Ketua Setiausaha KKD Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi SKMM Mohamad Salim Fateh Din serta turut dihadiri pihak polis.
SKMM berkata pihaknya akan mengguna pakai model yang dilaksanakan di Australia dan Kanada sebagai rujukan pelaksanaan kawal selia berkenaan.
Tambah agensi itu, kerajaan juga komited untuk menggalakkan persaingan adil, mengukuhkan hak harta intelek, melindungi pengguna daripada kandungan memudaratkan dalam talian serta menjaga privasi pengguna.