Tiada syarat 80% kandungan tempatan dalam lesen penyiaran, kata SKMM

Tiada syarat 80% kandungan tempatan dalam lesen penyiaran, kata SKMM

Lesen semasa memberi kebebasan kepada penyiar untuk menentukan kandungan masing-masing menurut piawaian ditetapkan.

mcmc-skmm-mcmc
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) nafi syarat 80% kandungan tempatan dimansuh kerana perjanjian dagang dengan AS. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) nafi dakwaan Malaysia diwajib memansuhkan syarat lesen penyiaran yang menetapkan 80% kandungan tempatan susulan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

SKMM berkata, dakwaan berkenaan yang dibuat seorang bekas ketua pengarang adalah tidak benar dan mengelirukan, serta tidak mencerminkan kerangka pelesenan penyiaran sedang berkuat kuasa di negara ini.

Di bawah lesen ‘Content Applications Service Provider Individual’ (CASP) atau lesen penyiaran individu yang dikeluarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tiada syarat kuota kandungan tempatan 80% dikenakan terhadap penyiar swasta di Malaysia.

“Lesen semasa memberi kebebasan kepada penyiar untuk menentukan kandungan masing-masing berdasarkan garis panduan serta piawaian kandungan yang ditetapkan oleh SKMM,” menurut Bernama dalam kenyataan.

SKMM berkata, lesen penyiaran di bawah AKM 1998 tidak mengandungi sebarang larangan terhadap penyiaran kandungan antarabangsa pada waktu perdana, dan penjadualan kandungan tertakluk kepada keputusan penyiar berdasarkan permintaan pasaran serta selaras peraturan kandungan sedia ada.

Sementara itu, kerajaan kini sedang membangunkan Dasar Penyiaran Negara (DPN) yang bertujuan memastikan ekosistem penyiaran negara kekal mampan, memperkukuh pembangunan kandungan tempatan berkualiti, serta mewujudkan tadbir urus yang telus dan saksama bagi penyiar awam, swasta dan platform antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.