Fahmi bayangkan pelesenan 10 permainan dalam talian termasuk Roblox

Fahmi bayangkan pelesenan 10 permainan dalam talian termasuk Roblox

Menteri komunikasi berkata kerajaan tidak akan berpeluk tubuh susulan kanak-kanak dikelar dan ditikam abang sendiri disyaki berkait permainan dalam talian.

kids phone game pubg
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata pihaknya bersama SKMM sedang meneliti mekanisme terbaik dan terpantas kawal selia permainan video yang mengundang kebimbangan keselamatan khususnya kanak-kanak.
PETALING JAYA:
Fahmi Fadzil memberi bayangan keperluan melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox susulan insiden kanak-kanak lelaki enam tahun parah dikelar dan ditikam abang sendiri dipercayai akibat pengaruh permainan itu.

Menteri komunikasi berkata, pihaknya bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti mekanisme terbaik dan terpantas mengawal selia permainan video terbabit yang mengundang kebimbangan keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak.

“Kita sedang meneliti mekanisme dan kerangka kawal selia terbaik. Berikan sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat, namun yang pasti kita tidak boleh berdiam diri atau berpeluk tubuh,” katanya menurut Bernama di Raub.

Beliau berkata, kementeriannya juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil permainan video dalam talian Roblox, susulan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang parah dikelar dan ditikam di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat.

“Saya telah bertemu dengan mereka (wakil Roblox) dan mereka agak gementar kerana pada hari pertemuan itu, laporan berita menyatakan seorang kanak-kanak sembilan tahun dipercayai telah mencederakan adiknya berusia enam tahun, dan insiden itu dikaitkan dengan pengaruh Roblox.

“Saya sendiri telah mengharamkan anak saya daripada bermain Roblox dan memadam aplikasi itu daripada semua peranti di rumah. Namun, kerajaan belum membuat keputusan rasmi mengenainya. Saya menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka,” katanya.

Fahmi berkata, SKMM juga akan memanggil penyedia aplikasi OMI dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan susulan laporan kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan menerusi aplikasi berkenaan.

“Aplikasi ini perlu diletakkan di bawah kawal selia kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang. SKMM sedang meneliti perkara ini dan difahamkan OMI masih belum termasuk dalam kategori kawal selia,” katanya.

Menurutnya, cabaran utama ketika ini bukan hanya untuk menghalang kanak-kanak bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun media sosial, tetapi juga memastikan sistem verifikasi umur dan pengesahan identiti dilaksanakan secara berkesan.

“Setiap platform seperti Facebook dan TikTok mempunyai mekanisme tersendiri, namun ia masih belum cukup meyakinkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.