
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan berkata, individu terbabit telah dipanggil bagi membantu siasatan dan keterangan dirakam hari ini di IPD Alor Gajah, Melaka.
“Satu peranti telefon bimbit dan satu kad SIM turut disita bagi tujuan analisis forensik digital,” kata SKMM.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Imej suntingan itu, yang menggunakan logo rasmi Utusan Malaysia, telah disahkan palsu selepas akhbar berkenaan menafikan sebarang penerbitan laporan tersebut dan menyifatkannya sebagai penyalahgunaan nama serta identiti medianya.
Justeru, SKMM menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial, terutama kandungan yang menggunakan identiti atau logo media tanpa kebenaran.
“Penyebaran kandungan palsu boleh menjejaskan kredibiliti sumber berita sahih dan mengundang tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.