
Permohonan injunksi itu difailkan berhubung tindakan sivil terhadap platform Telegram sementara menunggu pendengaran rayuan interlokutori SKMM di Mahkamah Rayuan.
SKMM memaklumkan keputusan itu merupakan langkah penting dalam usaha berterusan suruhanjaya dalam memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab serta selaras dengan kepentingan awam.
“Melalui keputusan tersebut, mahkamah membenarkan Injunksi Erinford bagi melarang penyiaran kandungan memudaratkan seperti dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan SKMM, termasuk apa-apa kandungan lain yang mempunyai ciri atau kesan serupa,” menurut kenyataan SKMM hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan penutupan sepenuhnya saluran ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’ serta mana-mana saluran lain yang mempunyai persamaan dari segi kandungan atau modus operandi.
Perintah itu bertujuan mengelakkan penyebaran kandungan palsu, mengelirukan, menghasut serta bahan yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam negara melalui platform berkenaan.
SKMM turut memaklumkan, dalam keputusannya mahkamah menegaskan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi, dengan keseimbangan keadilan jelas berpihak kepada SKMM memandangkan kemudaratan kepada Telegram adalah minimum berbanding potensi kesan negatif terhadap institusi negara dan ketenteraman awam sekiranya kandungan sedemikian terus disiarkan.
Mahkamah turut mengingatkan bahawa penyedia platform luar negara seperti Telegram, walaupun mungkin tidak memahami sepenuhnya struktur sosial dan budaya unik Malaysia, hendaklah sentiasa peka serta menghormati konteks perlembagaan dan sosial negara ini.