
Pesuruhjaya SKMM Derek Fernandez berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu, yang didedahkan menerusi laporan Reuters pada Khamis.
“SKMM akan memanggil Meta untuk mendapatkan penjelasan mengenai kesahihan dakwaan ini,” katanya kepada FMT.
“Pihak suruhanjaya juga akan memulakan siasatan …memandangkan dakwaan terbabit amat serius dan membimbangkan.”

Menurut laporan Reuters, syarikat gergasi media sosial itu pada akhir tahun lepas mengunjurkan ia dijangka memperoleh kira-kira 10% daripada keseluruhan pendapatannya, iaitu kira-kira USD16 bilion, hasil daripada penyiaran iklan penipuan dan produk terlarang.
Laporan itu memetik dokumen dalaman Meta yang mendedahkan syarikat itu gagal membendung lambakan iklan seumpamanya sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Keadaan itu mendedahkan berbilion pengguna Facebook, Instagram dan WhatsApp kepada skim penipuan e-dagang dan pelaburan, kasino haram dalam talian serta produk perubatan yang diharamkan.
Satu dokumen pada Disember 2024 mendedahkan syarikat itu memaparkan anggaran 15 bilion iklan penipuan ‘berisiko tinggi’, yang mempunyai ciri penipuan yang jelas, kepada pengguna platformnya setiap hari.
Menurut satu lagi dokumen pada akhir 2024, Meta meraih pendapatan tahunan sekitar USD7 bilion daripada kategori iklan penipuan ini setiap tahun.
Jurucakap Meta Andy Stone dilaporkan berkata, dokumen yang dilihat Reuters ‘memberikan gambaran terpilih yang memesongkan pendekatan Meta dalam menangani penipuan’ dan anggaran pendapatan 10.1% itu ialah ‘anggaran kasar serta merangkumi skop yang terlalu luas’.
Menurut Stone, syarikat itu kemudiannya mendapati angka sebenar lebih rendah kerana anggaran itu turut mengambil kira ‘banyak’ iklan yang sah. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan angka terkini.
Fernandez berkata, sebelum laporan Reuters itu lagi, SKMM telah mengadakan perbincangan dengan beberapa penyedia platform media sosial termasuk Meta berhubung isu-isu seumpamanya.
“Bagi kes Meta, SKMM telah menyuarakan kebimbangan berhubung Facebook berikutan jumlah permohonan penurunan kandungan yang amat tinggi membabitkan penipuan dan perjudian dalam talian, berbanding platform lain,” katanya.
Katanya, bagi tempoh 1 Jan hingga 4 Nov tahun ini, SKMM meminta Meta menurunkan 157,208 iklan haram dalam talian dan 44,922 iklan penipuan.
“Jumlah ini sangat tinggi berbanding platform lain,” katanya.
“Sebagai contoh, bagi iklan perjudian dalam talian, jumlah permohonan penurunan kandungan masing-masing adalah 3,956 untuk TikTok; 269 di Telegram; 11 di X (dahulunya dikenali sebagai Twitter); dan 45,448 untuk YouTube.”
Langkah lebih ketat?
Menurut Fernandez, jika keadaan tidak bertambah baik, mungkin wujud keperluan untuk memperkenalkan hak statutori bagi mangsa mengambil tindakan undang-undang terhadap platform yang membenarkan kegiatan jenayah berlaku, atau gagal mengenal pasti pelaku yang berulang kali menyalahgunakan platform mereka untuk merugikan orang lain.
“Kegiatan ini sangat membebankan sumber penguatkuasaan undang-undang, yang terpaksa dialihkan bagi memantau platform-platform yang mengaut keuntungan daripada trafik yang dijana oleh kandungan berbahaya seperti itu.
“Sekiranya bukti menunjukkan mana-mana platform dengan sengaja membantu atau bersubahat dalam kesalahan seumpama itu, SKMM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang negara,” katanya.
Beliau juga berkata, sudah sampai masanya untuk mempertimbangkan pengenalan sistem penarafan keselamatan awam dan kemudaratan dalam talian bagi platform media sosial dan pemesejan, berserta penerbitan statistik ketelusan secara berkala.
“Langkah ini akan mempertingkat akauntabiliti, menyokong kesedaran awam yang lebih bermaklumat dan menggalakkan amalan swakawalselia yang lebih mantap dalam kalangan penggiat industri,” katanya.