
Walaupun 31 Ogos penuh bermakna kepada rakyat Semenanjung sebagai Hari Kemerdekaan yang menandakan kemerdekaan dikecapi pada 1957, berbeza pula bagi orang Sabah seperti Johan Arriffin Samad, bekas CEO Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah.
“Hari Kemerdekaan tiada kepentingan dari segi sejarah bagi kami di Malaysia Timur. Itu adalah kemerdekaan Malaya, dan tiada kaitan dengan sejarah kami,” katanya kepada FMT.
31 Ogos sebelum ini dikenali sebagai Hari Pemerintahan Sendiri Borneo Utara bagi menandakan tamatnya pemerintahan kolonial British pada 1963. Hanya 16 hari kemudian, Sabah menyertai Singapura dan Sarawak untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia.

“Kita sepatutnya menyambut Hari Malaysia, jadi tindakan ini (mengiktiraf Hari Sabah) bukanlah signifikan. Tetapi ia menghantar mesej bahawa kami benar-benar mahu menjadi negeri bebas, bukan semestinya berasingan dari Malaysia.
“Kami mahukan autonomi untuk membuat keputusan berhubung pendidikan, dasar kami sendiri, untuk mendapat hospital, jalan dan infrastruktur lebih baik,” katanya.
“Disebabkan itulah rakyat di Semenanjung tidak faham kenapa kami mendahulukan orang Sabah. Ini kerana orang Semenanjung tidak melayan kami sebagai sebahagian daripada Malaysia.”
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mengumumkan baru-baru ini bahawa 31 Ogos akan diwartakan sebagai Hari Sabah mulai tahun ini, dengan sambutan julung kali diadakan di Tambunan.
Kemuncak sambutan adalah pengibaran bendera asal Sabah yang digunakan dari 1963 hingga 1982.
Acara ini akan disambut setiap tahun dengan lokasi sambutan digilirkan.