Kesatuan, perpaduan kunci atasi cabaran bina negara, seru Hajiji

Kesatuan, perpaduan kunci atasi cabaran bina negara, seru Hajiji

Di Sarawak, Abang Johari Openg seru rakyat melangkah ke depan sebagai bangsa Malaysia.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib (empat, kanan) bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim memotong kek pada Sambutan Hari Malaysia, bersama Timbalan Premier Sarawak Amar Douglas Uggah Embas (dua, kanan), Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya (kiri), Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (dua, kiri) dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menegaskan semangat kesatuan, kebersamaan dan perpaduan merupakan kunci mengatasi pelbagai cabaran dalam perjalanan membina negara.

Hajiji berkata 16 Sept tarikh keramat yang perlu sentiasa diingati sebagai hari tertubuhnya Malaysia, dan tarikh bersejarah yang menjadikan negara berdaulat dan merdeka.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga serta mengingati detik penting ini. Pembentukan Malaysia telah membawa banyak nikmat dan manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, namun perjalanan membina negara masih panjang, berliku dan tidak terlepas daripada cabaran.

“Oleh itu, hanya dengan adanya kesatuan, kebersamaan dan perpaduan, semua cabaran ini dapat diatasi,” katanya dalam video yang ditayangkan pada sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, malam tadi.

Beliau juga berkata semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara perlu terus disemarakkan agar perpaduan serta keharmonian rakyat pelbagai bangsa dan agama kekal terpelihara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Abang Johari Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya mewakili Hajiji hadir memeriahkan sambutan.

Edisi sambutan Hari Malaysia kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras penggiliran lokasi penganjuran antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung setiap tahun.

Melangkah sebagai bangsa Malaysia

Di Bintulu, Sarawak, Abang Johari menyeru rakyat memperbaharui tekad mempertahankan perpaduan dan hak, seiring semangat Malaysia Madani dan aspirasi ‘Sarawak Maju Makmur’.

Beliau berkata Sarawak kini berada di landasan kukuh untuk terus maju sebagai satu daripada ekonomi terbesar negara, selepas diiktiraf Bank Dunia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi sejak 2022.

“Pencapaian kita bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga untuk mengangkat Malaysia di mata dunia.

“Dengan semangat Malaysia Madani dan aspirasi Sarawak Maju Makmur, marilah kita melangkah ke depan sebagai satu bangsa, bangsa Malaysia untuk masa depan lebih cerah,” katanya, pada sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta barisan menteri dan timbalan menteri Sarawak.

Beliau berkata tema tahun ini, ‘Sarawak Maju Makmur Dalam Malaysia’ mencerminkan pencapaian serta hala tuju Sarawak menuju 2030.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa menjelang 2030, Sarawak akan terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara menerusi industri bernilai tinggi termasuk pembangunan tenaga boleh baharu seperti hidro, hidrogen dan solar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.