Rasis ramai atau bukan rasis ramai?

Rasis ramai atau bukan rasis ramai?

Hanya segelintir masyarakat di dunia yang mampu menandingi kemesraan, keakraban dan perpaduan yang ditunjukkan oleh tiga kaum utama di Malaysia.

Mohsin Abdullah

Ada tak orang Cina yang benci orang Melayu di negara ini? Memang ada. Dalam kalangan orang India ada yang benci Melayu? Ada juga. Orang Melayu pula bagaimana? Ada tak yang benci orang Cina, India dan orang bukan Melayu lain? Jangan dinafikan memang ada.

Tampil buku ‘Notes to Myself And You’ yang ditulis Yap Koon Hong, bekas editor kanan Straits Times. Kata Yap dalam buku itu seperti dilapor FMT semalam, hubungan antara orang Melayu, Cina dan India biasanya mesra, akrab serta saling bertolak ansur — khususnya dalam lingkungan peribadi. Saya setuju.

Kata beliau, keharmonian dan persahabatan antara kaum yang terbentuk secara semula jadi ini merupakan satu ‘pencapaian luar biasa’ memandangkan setiap kaum mempunyai perbezaan besar dari segi sejarah, agama dan budaya termasuk soal makanan serta kepercayaan spiritual. Saya kata betul.

Menurut Yap lagi, hanya segelintir masyarakat di dunia yang mampu menandingi kemesraan, keakraban dan perpaduan yang ditunjukkan oleh tiga kaum utama di Malaysia. Ini saya setuju juga. Ia memang berlaku. Bukan sahaja berlaku dalam video menyentuh perasaan bertema perpaduan kaum yang dihasilkan Yasmin Ahmad setiap kali Hari Kemerdekaan menjelma suatu masa dahulu.

Cuma bak dikata pada awal penulisan ini, ada rasis dalam kalangan kita. Secara peribadi saya nyatakan saya ada kenalan Melayu yang kaitkan segala masalah di Malaysia dengan orang Cina, umpamanya isu Kampung Sungai Baru dan ladang durian di Pahang. Mereka dakwa itu semua demi mengabaikan orang Melayu untuk menguntungkan orang Cina. Tidak perlu saya perinci pendapat sedemikian.

Baca pula ruang komen di portal berita. Hampir semua langkah pihak berkuasa dituduh pro-Melayu sekali gus menekan orang bukan Melayu. Hampir pasti komen disuarakan orang bukan Melayu. Pendirian pro-Palestin kerajaan pun tidak disenangi kerana dilihat bantuan dihulur kepada Palestin dan pada masa sama abaikan orang bukan Islam bukan Melayu di Malaysia. Charity begins at home, kata mereka.

Ada ramai orang Melayu kenalan saya yang berpelajaran tinggi tetap sangsi dan bimbang Cina akan menawan Malaysia lalu Melayu hilang negaranya dan Islam diancam. Rasa tidak percaya ini tercetus, walaupun “masyarakat Cina, India dan bukan Islam lain di Malaysia — termasuk sebahagian besar penganut Kristian — menerima dan menghormati kedudukan Istimewa Islam sebagai agama rasmi,” menurut Yap dalam bukunya. Jika saya boleh menambah — mereka juga akur kedudukan tinggi raja-raja dan hak istimewa orang Melayu.

Lalu saya ulangi tajuk artikel ini – golongan rasis ramai atau golongan bukan rasis yang ramai? Siapa lebih rasis?

Menurut Yap, hubungan antara Melayu, Cina, dan India bersifat dwifungsi. Walaupun dalam lingkungan peribadi ia menjadi satu ‘nikmat untuk dirasai dan disaksikan’, pencapaian itu dinafikan oleh naratif yang wujud di ruang awam. Lantas Yap kesal kerana politik menanam prasangka mendalam, kecurigaan serta perasaan tidak seimbang dan tidak adil antara kaum hingga mewujudkan jurang yang menolak mereka ke ‘lorong buntu pemikiran perkauman’.

Apa yang Yap kata seterusnya mesti diberi perhatian: “politik yang memecahbelahkan, mencetuskan pertikaian antara Melayu, Cina dan India — satu kekeliruan yang perlu diperbetulkan”. Bagi saya wajib diperbetulkan.

Beri perhatian pula pada titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah tempoh hari. Menurut Sultan Nazrin, penyebaran fitnah dan kebencian yang semakin menular di media sosial mencetuskan polemik dalam kalangan ummah. Baginda bertitah saban hari ummah disajikan dengan kata-kata menjelikkan, menghina, mempersenda dan membadutkan orang yang tidak bersefahaman dengan kumpulannya, menjelmakan budaya baharu yang sangat bercanggah dengan adab seorang Muslim dan adat Melayu. Demikian titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Ipoh baru-baru ini. Sememangnya titah ditujukan khusus kepada umat Islam orang Melayu. Namun ada bahagian pada titah ucapan yang sama boleh dijadikan pedoman buat orang Islam dan orang bukan Islam.

Begini. Titah baginda perjanjian yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya. Sultan Nazrin bertitah perkara itu tidak sepatutnya dibiarkan hanya disebabkan semakin terhakis sikap saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain serta dipengaruhi api perselisihan yang dinyalakan melalui retorik politik berasaskan kaum dan agama.

Jelas baginda, kemerdekaan tanah air diperolehi melalui rundingan dan diplomasi oleh Tunku Abdul Rahman yang berjaya mengikat persefahman sehingga membangunkan negara yang warganya terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa.

Titah Sultan Nazrin: “Kesemuanya diberikan tempat dan jaminan perlindungan yang saksama sebagai warga dalam sebuah negara yang merdeka. Tidak ada yang terpinggir, tidak ada penyisihan dilakukan”. Peringatan yang wajar diteliti dan dihayati oleh rakyat Malaysia semua bangsa dan agama, pemerintah dan sesiapa yang bercita-cita hendak jadi pemerintah.

Kepada Malaysia diucapkan Selamat Hari Malaysia ke-62.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.