
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyeru rakyat supaya sentiasa ingat kepada peribahasa Melayu ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.
“Marilah kita bangkit bersama menuju kejayaan demi tanah air tercinta berbekalkan jiwa yang besar dan semangat waja. Setiap titisan keringat yang tumpah pada masa kini adalah bekalan bagi masa depan bangsa yang lebih gemilang.
“Kasih kita kepada negara bukan sekadar kata-kata tetapi perjuangan untuk melihat tanah air terus merdeka dan berjaya. Negara yang kuat lahir daripada rakyat yang bersatu, berdisiplin dan berusaha tanpa mengenal penat,” titah baginda berdua menerusi hantaran dimuat naik Kesultanan Pahang di laman Facebook.
Dalam kesempatan ini juga, baginda berdua mengimbau kenangan manis semasa ‘Kembara Kenali Borneo’ dua tahun lepas, yang masih segar dalam ingatan hingga kini.
Pengalaman manis itu mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara baginda, rakyat di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, sekali gus melambangkan semangat sebenar Hari Malaysia.
“Semoga Malaysia terus hidup dalam suasana aman dan makmur, dilimpahi keamanan serta kesejahteraan.
“Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan semangat muhibah, meningkatkan rasa tanggungjawab dan cinta akan tanah air agar Malaysia terus melangkah maju menjadi sebuah negara yang dihormati di persada dunia. Selamat Hari Malaysia,” titah baginda berdua.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata Hari Malaysia bukan sekadar sambutan tetapi simbol kesepaduan dan semangat kekitaan yang telah membawa ke tahap pembangunan dan kemajuan hari ini.
“Ia adalah pengiktirafan terhadap jasa pemimpin terdahulu, pengorbanan rakyat pelbagai kaum serta usaha gigih semua pihak dalam memelihara keharmonian dan kestabilan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau sempena sambutan Hari Malaysia 2025.