Membina harapan, rasa dimiliki untuk Bajau Laut

Membina harapan, rasa dimiliki untuk Bajau Laut

Ketika negara sambut Hari Malaysia, Pulau Sebangkat kekal jadi peringatan bahawa ada rakyat masih berjuang dapat pengiktirafan di negara yang mereka panggil rumah.

Salleh Abdul Salleh (kiri) berkata tiada seorang pun kanak-kanak yang harus dipinggirkan.
SEMPORNA:
Laungan azan Subuh bergema dari sebuah masjid kayu di tepi laut di Pulau Sebangkat ketika sekumpulan kanak-kanak memegang buku berjalan menuju ke sekolah. Suasana biasa di kampung-kampung seluruh Malaysia.

Namun di pulau ini, di mana ramai penduduknya masih tiada kerakyatan, sesuatu semudah anak-anak pergi ke sekolah hanya direalisasikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lima tahun lalu, kebanyakan kanak-kanak Bajau Laut di sini tidak pernah memegang sebatang pensel, apatah lagi membaca sebuah buku. Hari ini, suara-suara kecil yang menyebut abjad dan mengira nombor menandakan perubahan senyap tetapi sangat penting bagi sebuah komuniti yang sekian lama terpinggir dari arus pembangunan.

Pulau Sebangkat menempatkan kira-kira 190 penduduk, termasuk 50 kanak-kanak. Cara hidup tradisional Bajau Laut yang berlayar di laut sejak sebelum wujudnya sempadan moden menyebabkan generasi demi generasi hidup tanpa kewarganegaraan, akses kepada penjagaan kesihatan atau pendidikan formal.

Anak-anak Bajau Laut kini belajar membaca dan menulis.

Inilah realiti yang mendorong Salleh Abdul Salleh, keturunan penduduk asal pulau itu, bertindak. Baginya, membantu komuniti itu bukanlah satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab.

Bina dari bawah

Salleh pemilik geran tanah Pulau Sebangkat diperoleh pada zaman kolonial yang diwarisi daripada nenek moyangnya, menjadikan beliau sebagai penjaga tanah dan pemimpin komuniti di situ.

“Pulau ini sejak dahulu adalah rumah bagi masyarakat kami. Penduduknya merupakan keturunan asal Semporna, sejak sebelum penjajahan British,” katanya kepada FMT.

Kanak-kanak berusia semuda empat tahun mengutip kerang dan siput untuk dimakan bersama keluarga.

“Ramai di sini tiada dokumen (MyKad) – bukan kerana mereka datang dari tempat lain, tetapi kerana tiada siapa pernah membantu mereka dengan urusan pendaftaran. Tiada bukti kelahiran, walaupun mereka lahir di sini.”

Usaha Salleh bermula dengan menyediakan tempat tinggal. Dengan wang sendiri, dia membina 15 rumah, sebuah kedai kecil, dan surau di pulau itu. Setelah rumah-rumah siap, beliau memberi tumpuan kepada pendidikan.

Dengan sokongan beberapa NGO seperti Persatuan Nelayan Semporna, kumpulan komuniti, dan penderma, sebuah sekolah tidak formal telah didirikan.

“Kami bina sekolah di sini, tempat kami ajar mereka membaca dan menulis, beri kelas agama, malah tunjuk cara menjaga alam sekitar,” kata Salleh, sambil menambah sekolah itu mempunyai enam guru.

Kanak-kanak memakai pakaian berwarna-warni tradisi Suluk Bajau selepas membuat persembahan tarian igal-igal.

Tradisi budaya juga terus dipelihara. Kanak-kanak menarikan tarian igal-igal dengan pakaian berwarna-warni Suluk Bajau, menonjolkan identiti dan kebersamaan.

“Mereka ini sebahagian daripada kami. Kami tidak mahu mereka ketinggalan,” kata Salleh.

Melangkah ke hadapan

Salleh menegaskan bahawa Bajau Laut bukan orang luar, sebaliknya sebahagian yang tidak terpisahkan daripada identiti dan ekonomi Sabah.

“Daerah Semporna ini sinonim dengan Bajau Laut. Mereka inilah yang membekalkan ikan kepada masyarakat kita – tanpa mereka, kita tidak ada ikan untuk dimakan,” katanya.

Beliau berharap Pulau Sebangkat suatu hari nanti dapat dibangunkan sebagai destinasi pelancongan lestari, di mana pengunjung dapat melihat budaya Bajau Laut dan anak-anak muda pulau itu yang menjadi penjaganya.

Ketika negara menyambut Hari Malaysia, Pulau Sebangkat menjadi peringatan bahawa masih ada rakyat yang masih bergelut menunggu pengiktirafan di satu-satunya tempat yang mereka panggil sebagai rumah.

“Anak-anak ini berhak mendapat tempat dalam masa depan kita. Pulau ini adalah rumah mereka, dan di sinilah tempat mereka,” kata Salleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.