
Ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia ke-62 di Pusat Konvensyen Picca hari ini, beliau turut menyeru rakyat agar menolak sentimen ‘kewilayahan’ yang sempit bagi mempertahankan kedaulatan negara.
“(Sebagai) negara merdeka dan berdaulat, (rakyat) mesti bersatu, mesti meleburkan kebencian dan prasangka antara kaum dan agama serta wilayah. Mesti menentukan bahawa sikap terlampau dengan kaum lain atau fanatik agama tidak dibenarkan.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat menjamin peluang serta kesaksamaan bagi semua kaum,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa erti sebenar kemerdekaan bukan sekadar menggantikan penjajah dengan anak tempatan tetapi menjamin wujudnya sistem yang adil, berakhlak dan menjunjung nilai kemanusiaan.
“Kita merdeka bukan untuk ganti James Brooke dengan pemimpin Melayu, Dayak, Kadazan, Cina atau India, sebaliknya mengekalkan sistem sama yang membenarkan mereka guna kuasa untuk bolot kekayaan dengan rakus,” katanya.
Beliau menggesa para pemimpin pada peringkat persekutuan dan negeri untuk memastikan tadbir urus yang baik dan keterangkuman ekonomi, dengan mengambil iktibar daripada eksploitasi zaman penjajahan.
Perdana menteri juga berkata, Malaysia perlu memacu pertumbuhan menerusi teknologi, industri hijau dan inovasi tanpa mengabaikan nilai budaya dan akhlaknya.
“Kita tidak mahu maju seperti negara Barat. Kita mahu kemajuan ekonomi tetapi budaya dan akhlak tetap dijunjung,” katanya.