Beri peruntukan sama rata kepada pembangkang di Melaka, kata Adun PN

Beri peruntukan sama rata kepada pembangkang di Melaka, kata Adun PN

Adun Sungai Udang Aleef Yusof berkata dua Adun pembangkang di negeri itu tidak mendapat peruntukan sewajarnya.

Aleef Yusof berkata sudah tiba masanya semua pihak mengamalkan politik matang di Melaka dengan menyalurkan peruntukan sama rata kepada semua Adun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Adun Sungai Udang Aleef Yusof menggesa Melaka memberi peruntukan sama rata kepada semua Adun termasuk pembangkang seperti dilakukan kerajaan negeri diperintah Perikatan Nasional (PN).

Adun PN itu mendakwa beliau dan Adun Bemban Mohd Yadzil Yaakub tidak mendapat peruntukan sewajarnya dan jumlah yang diterima jauh lebih rendah berbanding Adun kerajaan.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri yang diketuai oleh Ab Rauf Yusoh selaku ketua menteri Melaka baru mencontohi usaha ini supaya saya dan Adun Bemban dapat sama-sama menyumbang dan membantu rakyat di kawasan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Aleef berkata sudah tiba masanya semua pihak mengamalkan politik matang di Melaka dan hak rakyat di DUN Sungai Udang dan Bemban juga wajar dipenuhi.

“Setiap hari begitu ramai pihak yang tampil dan menghubungi bagi memohon bantuan. Amat menyedihkan ianya tidak dapat dipenuhi,” katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri Kelantan pada Rabu lalu mengumumkan pemberian peruntukan sama kepada Adun termasuk pihak pembangkang.

Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud yang dipetik Sinar Harian, berkata pihaknya akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.