PRK Mahkota: ‘Saya tak pandai meminta’, Hussein ikrar bantu siapa saja calon BN

PRK Mahkota: ‘Saya tak pandai meminta’, Hussein ikrar bantu siapa saja calon BN

Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussein Syed Abdullah dicadangkan mewakili sayap itu mewakili BN pada PRK Mahkota 28 Sept.

Syed Hussein Syed Abdullah yang menyertai Umno pada usia 18 tahun aktif dalam NGO membantu masyarakat sekitar Kluang.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussein Syed Abdullah yang dicalonkan sayap itu untuk mempertahankan DUN Mahkota mengakui agak terkejut dan tidak pernah terfikir menjadi calon dalam pilihan raya.

Anak jati Kluang itu dicadangkan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh sebagai calon PRK Mahkota di pentas Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, yang menurutnya kekuatan pada Hussein mampu meneruskan momentum kemenangan Umno selepas Nenggiri.

“Saya terperanjat bila nama kena panggil, sebab saya tak pernah jangka dan tak pernah berniat nak jadi calon, nak minta depan-depan orang, saya bukan begitu,” kata Hussein kepada FMT.

Selain Pemuda, Wanita Umno turut mengusulkan calon dari sayap itu diberi peluang bertanding PRK Mahkota 28 Sept bagi meneruskan legasi penyandang Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia 2 Ogos lalu.

Syed Hussein Syed Abdullah.

Mengulas perkembangan itu, Hussein berkata sebagai individu dididik dalam keluarga politik, beliau tidak akan sekali-kali ‘merajuk’ atau memboikot calon dipilih parti sebaliknya mengetuai jentera Pemuda Umno untuk menang lebih 10,000 undi.

“Dalam politik, kita perlu faham apa itu pengorbanan, pengorbanan bukan saja duit tetapi paling teruk adalah pengorbanan emosi.

“Bukan semua yang kita nak Allah bagi tetapi apa yang kita perlukan saja… jadi tuntutan dari Wanita, kita perlu hormat kerana Wanita adalah tunjang kepada parti.

“(Jika tidak dipilih) Pemuda akan bergerak ‘fullforce’ sebab akhirnya, kita perlu menangkan parti bukan individu… maka parti jadi keutamaan ketika ini,” katanya yang menyertai Umno pada usia 18 tahun.

Pada PRN Mac 2022, Sharifah menang kerusi berkenaan dengan majoriti 5,166 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Warisan.

Dalam sidang media pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Ketua Umno Kluang Jais Sarday berkata pihaknya menghantar tiga nama untuk dipilih pucuk pimpinan bagi mewakili BN pada PRK Mahkota, 28 Sept.

Menurutnya, ketiga-tiga calon itu adalah pemimpin Umno Kluang. Namun beliau enggan mendedahkan nama berkenaan.

Selain Hussein, FMT difahamkan dua calon utama itu ialah Naib Ketua Wanita Zainani Jamaluddin yangn kini memangku jawatan ketua Wanita Umno Kluang, selain Jais yang juga bekas Adun kawasan itu selama dua penggal.

Mengulas lanjut, Hussein berpendapat sudah tiba masanya parti politik di dalam negara mengetengahkan pemimpin muda sebagai pelapis, dalam usaha negara mencapai negara maju.

“Bukan saya kata yang veteran tidak bagus, tetapi untuk buktikan negara kita ada pelapis yang baik, bukan berpolitik sema-mata.

“Kita mahu ada satu acuan politik yang matang, kalau kita nak Malaysia sebagai sebuah negara maju, kita kena ada pendekatan politik berbeza bermula dari sekarang,” katanya yang bergiat aktif dalam pelbagai NGO di Parlimen Kluang.

Pengundi DUN Mahkota terdiri daripada Melayu (56%), Cina (38%), India (18%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.