
Sayap itu berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan menyekat kebebasan bersuara atau memberikan tekanan politik melalui penggunaan memorandum yang menurutnya ‘berunsur ancaman dan kemunafikan politik’.
“Kami melihat memorandum ini bukan sebagai seruan (ke arah mengamalkan) ‘akhlak politik’, tetapi sebagai kemarahan politik kerana dikritik,” katanya dalam kenyataan, merujuk memorandum bantahan yang diserahkan oleh Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar pagi tadi.
Sukri menyerahkan memorandum lima muka surat kepada Ibu Pejabat DAP bagi membantah tindakan Woo memuat naik gambar Hashim yang telah disunting, menunjukkan beliau dalam keadaan terlantar di atas katil bersama sebuku roti Gardenia.
Sukri menuntut Woo memohon maaf secara terbuka serta menarik balik hantaran kandungan itu di semua platform media sosial.
Beliau menyifatkan tindakan ketua Pemuda DAP itu ‘menyerlahkan kegagalan mengamalkan politik yang beradab, seterusnya merendahkan martabat kepimpinan politik negara’, dan menyatakan kesediaan bersemuka dengan Woo dan kepimpinan Pemuda DAP untuk menerangkan konsep Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS).
Pemuda DAP Selangor dalam kenyataannya hari ini sebaliknya menuntut Pemuda PAS mengamalkan prinsip secara konsisten.
“Kami hairan bagaimana mereka boleh menjemput kami untuk ‘menerangkan konsep BPMS’ apabila tindakan mereka sendiri bercanggah dengan apa yang dilaungkan,” katanya.
“Jika Pemuda PAS begitu menekankan akhlak politik, mengapa tiada memorandum dikeluarkan terhadap pemimpin atau ahli mereka sendiri yang didakwa kerap mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, kebencian agama atau penghinaan yang lebih biadab dalam media sosial dan di pentas ceramah?”
Dalam pada itu, Pemuda DAP Selangor berkata, pihaknya akan terus komited untuk menjadi pembina landskap politik Malaysia yang lebih bermaruah, beretika dan bertamadun, ‘yang turut merangkumi kebebasan untuk menyuarakan kritikan yang keras dan lantang’.