Kenapa perlu takut dengan DAP, soal Johari

Kenapa perlu takut dengan DAP, soal Johari

Naib presiden Umno berkata, parti itu sebelum malah tak pernah gentar dengan mana-mana parti bukan Melayu lain.

Naib Presiden Umno Johari Ghani berkata, tiada sebab untuk parti itu ‘takut’ dengan DAP.
KUALA LUMPUR:
Naib Presiden Umno Johari Ghani secara sinis mempersoalkan naratif ‘DAP musuh Umno’, sedangkan parti itu sebelum ini tidak pernah gentar dengan mana-mana parti bukan Melayu lain.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Johari berkata, bukan DAP yang patut dibimbangkan Umno, sebaliknya kegagalan orang Melayu bersatu.

“Kenapa perlu takut dengan DAP? Tiada sebab kita perlu takut dengan DAP,” katanya.

“Kalau kita tak pernah takut dengan Gerakan, tak pernah takut dengan MCA, tak pernah takut dengan mana-mana parti bukan berasaskan Melayu, kenapa perlu takut dengan DAP?”

Dalam pada itu, Johari turut menyahut seruan Presiden Zahid Hamidi agar Umno dibuka menjadi ‘Rumah Bangsa’ untuk menyatukan kaum Melayu, walaupun ada parti dilihat keberatan, merujuk kepada kenyataan pemimpin PAS sebelum ini.

“Kalau PAS tak mahu, sudahlah, kita tak boleh paksa,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan kenyataan Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Che Sulaiman yang menyatakan agenda ‘Rumah Bangsa’ hanya boleh berjaya jika tiada parti yang terlibat bekerjasama dengan DAP

Johari turut mengimbau ketika Umno mengundang PAS menghadiri Perhimpunan Agung pada 2019 atas semangat perpaduan Melayu menerusi Muafakat Nasional (MN), namun kerjasama itu tidak kesampaian.

“Dulu kita bawa mereka ke sini sampai kita semua menangis, tapi kita saja yang menangis, mereka tidak. Akhirnya, sekarang apa jadi?

Beliau bagaimanapun menegaskan beliau tiada masalah dengan PAS, malah membantu penyokong parti itu di kawasannya.

“Saya tiada masalah dengan PAS sebab mereka orang Melayu. Di kawasan saya, mana-mana orang PAS datang jumpa saya, saya bantu semua,” katanya.

Mengulas landskap politik semasa, Johari berkata, politik hari ini menuntut pendekatan lebih pragmatik dan matang, bukan sekadar idealisme atau retorik.

“Politik hari ini sudah berubah. Ia memerlukan politik yang pragmatik dan matang, bukan idealisme kosong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.