Prestasi ekonomi semakin baik, tak adil nilai kerajaan perpaduan gred ‘D’, kata Ahli Parlimen

Prestasi ekonomi semakin baik, tak adil nilai kerajaan perpaduan gred ‘D’, kata Ahli Parlimen

Wong Chen berkata, Bersih mungkin nilai guna kriteria berbeza kerana cenderung mengutamakan pelaksanaan reformasi struktur meluas.

wong chen
Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, tidak wajar membandingkan pentadbiran Anwar Ibrahim dengan Ismail Sabri Yaakob memandangkan mereka memimpin dalam keadaan berbeza.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menyifatkan gred ‘D’ daripada Bersih sebagai ‘tidak adil’ kerana gagal mengambil kira prestasi ekonomi negara yang bertambah baik.

Dalam wawancara eksklusif dengan FMT, Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, secara peribadi, beliau memberi kerajaan gred ‘B+’ untuk pengurusan ekonomi dan mengekalkan ‘D’ untuk reformasi politik, dengan gred ‘C’ secara keseluruhan.

Dari segi ekonomi, Kementerian Kewangan mengumumkan bulan lepas bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara bagi suku ketiga tahun ini meningkat 5.3%, daripada 3.3% yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Sementara itu, menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran bagi September jatuh 0.2% kepada 3.2% berbanding bulan yang sama pada 2023.

Anwar, Ismail tadbir dalam keadaan berbeza

Wong bagaimanapun mengakui Bersih mungkin menggunakan kriteria berbeza memandangkan ia cenderung mengutamakan pelaksanaan reformasi struktur yang meluas.

Katanya, penarafan oleh Bersih adalah berdasarkan penilaian prestasi kerajaan dalam 37 bidang merangkumi reformasi pilihan raya, institusi dan kebebasan awam, manakala kerajaan bekerja dalam ruang politik yang pragmatik.

Wong juga berkata, tidak tepat membandingkan pentadbiran Anwar dan Ismail, memandangkan mereka memimpin dalam keadaan berbeza.

Beliau berkata, Ahli Parlimen PH yang berfikiran reformasi hanya 37% daripada Dewan Rakyat, manakala kerajaan Ismail Sabri Yaakob mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen bersatu tentang dasar yang sama.

Bersih mesti faham bahawa PH pada masa ini tidak mempunyai angka untuk mendesak reformasi secara unilateral, tambahnya.

Menurut Wong, walaupun kerajaan perpaduan membentuk 67%, atau dua pertiga, Dewan Rakyat, parti-parti komponennya mungkin tidak berkongsi keutamaan yang sama dalam agenda reformasi masing-masing.

Cabaran dihadapi kerajaan perpaduan

“Kita (PKR) melawan (Umno-BN untuk reformasi tertentu) selama 25 tahun, ambil masa (untuk jadi kawan),” katanya menambah, walaupun proses itu sukar, perpaduan dalam kerajaan bertambah baik melangkaui jangkaan.

Beliau juga berkata, banyak kerja asas yang diperlukan untuk membuka jalan bagi pelaksanaan reformasi dan rundingan yang meluas diperlukan antara pelbagai rakan kongsi dalam kerajaan mengenai ‘perinciannya’.

“(Ia juga bergantung pada) sejauh mana rakan-rakan kongsi kita sedia bersetuju dari segi reformasi,” tambahnya.

Bulan lepas, Bersih mengeluarkan laporan pertengahan penggal mengenai kerajaan perpaduan, memetik kemajuan terhadnya dalam pelaksanaan reformasi serta jurang antara retorik dan tindakannya.

Pada masa sama, badan pemantau pilihan raya itu memuji Ismail atas kesediaan kerajaannya memperuntukkan dana pembangunan sama rata bagi Ahli Parlimen pembangkang, suatu langkah yang membuka jalan kepada sokongan bipartisan yang menyaksikan reformasi utama diluluskan, termasuk undang-undang antilompat dan penurunan usia pengundian daripada 21 kepada 18 tahun.

Wong berkata, PH memainkan peranan utama dalam usaha melaksanakan reformasi tersebut.

Beliau berkata, peruntukan sama rata hanya mampu dicapai selepas PH bersetuju tidak menggulingkan kerajaan.

“Perkara itu bukannya dibenarkan oleh kerajaan Ismail demi reformasi,” katanya.

Wong turut menegaskan, undang-undang antilompat telah diperjuangkan oleh PH.

“Malah, saya sendiri merangka sebahagian besar memorandum persefahaman itu, yang berdasarkan detik-detik penting untuk pembaharuan.”

Beliau juga menggelar metodologi penilaian Bersih sebagai ‘dangkal’ dan ‘tidak lengkap’.

Tidak seperti perdana menteri sebelum ini, katanya, kerajaan Madani dinilai berdasarkan sebanyak 37 pembaharuan, justeru perbandingan itu bukan ‘saintifik’ mahupun standard.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.