Kita pertaruh idea, jadi masyarakat matang dan baik, tegas calon BN

Kita pertaruh idea, jadi masyarakat matang dan baik, tegas calon BN

Yusri Bakir kata Ayer Kuning tidak perlu kempen yang memburukkan seseorang.

MOHAMAD YUSRI BAKIR
Yusri Bakir mahu persaingan untuk menarik sokongan pengundi Ayer Kuning berasaskan idea.
TAPAH:
Calon Barisan Nasional bagi PRK Ayer Kuning seru semua penyokong parti bertanding untuk mempamerkan kematangan dan kelakuan yang baik sepanjang masa berkempen.

Mohamad Yusri Bakir mahukan kempen yang mempertaruhkan idea bagi menarik sokongan rakyat.

“Tidak perlu kepada kempen yang memburuk orang, serang individu. Tak sihat. Kita perlu menjadi masyarakat matang dan baik,” katanya kepada FMT.

Yusri yang mewakili kerajaan perpaduan dicabar oleh calon Perikatan Nasional, Muhaimin Malek dari PAS, dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS.

Bekas pensyarah di Institut Pendidikan Guru itu mengingatkan penyokong bahawa BN tidak ada masalah dengan Muhaimin dan Bawani.

“Saya jumpa calon lawan. Kita tak ada masalah,” katanya.

Yusri menegaskan pendirian ini ketika timbul dakwaan penipuan untuk mendapatkan tauliah mengajar membabitkan calon PN.

Satu laporan polis dibuat oleh Pemuda Amanah Perak semalam. Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, nafi tuduhan tersebut.

Sementara itu, Yusri berkata beliau teruja dengan sokongan dan semangat daripada pengundi bukan Melayu di DUN Ayer Kuning, yang membentuk lebih 40% daripada pemilih di situ.

“Saya lihat mereka tak kekok dengan saya yang mewakili BN,” katanya.

Beliau yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Batu Tiga Temoh juga mengharapkan sokongan daripada bekas anak murid.

“Saya juga harap pengundi luar balik mengundi walaupun korban sikit demi masa depan Ayer Kuning. Itu satu harapan besar saya,” katanya.

Yusri berkata keutamaan beliau sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat adalah pendidikan berkualiti bagi mengubah masa depan masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.