
Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan berkata, pihak DUN akan memaklumkan mengenai pemulangan keperluan yang diguna pakai Saad Seman (Adun Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Adun Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Adun Guar Sanji), yang hilang jawatan sebagai wakil rakyat selepas keahlian mereka dalam PAS dihentikan serta-merta
“Secara automatik (jawatan) gugur, kita bukan pecat tetapi memang diberhentikan, semua jawatan dipegang termasuk wakil rakyat, (aset kerajaan negeri digunakan mereka harus) dipulangkan secepat mungkin,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra, Kangar, hari ini.
Terdahulu, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Mohd Ridzuan sebelum ini juga exco Belia dan Sukan serta Sains, Teknologi dan Inovasi Perlis.
Sebelum ini, media melaporkan Adun Perikatan Nasional (PN) di Perlis didakwa bertemu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
Berikutan itu, Presiden PAS Hadi Awang malam tadi memaklumkan keahlian tiga Adun berkenaan terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Pada PRU15, PN menang 14 kerusi DUN negeri itu, tediri daripada sembilan Adun PAS dan lima Adun Bersatu.