Suami isteri cedera disimbah asid ketika masuk lif

Suami isteri cedera disimbah asid ketika masuk lif

Suspek wanita bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari luar lif sebelum melarikan diri.

Pasangan suami isteri itu dirawat di Hospital Selayang selepas mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Sepasang suami isteri cedera manakala anak lelaki mereka terselamat apabila disimbah asid oleh seorang wanita semasa memasuki lif di sebuah pangsapuri di Batu Caves, Gombak kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Gombak Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada 3.10 pagi, selepas insiden itu berlaku pada 1.27 pagi.

Katanya, mangsa seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya, warga asing berusia 37 tahun, serta anak lelaki mereka berusia 14 tahun.

Menurut Noor Ariffin, suspek wanita bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari luar lif sebelum melarikan diri.

“Mangsa meminta bantuan orang awam untuk menghantar mereka ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan selepas cedera di beberapa bahagian badan, manakala anaknya tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian itu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) turut tular selepas dikongsi di media sosial.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang mengesan suspek, kata Noor Ariffin.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Mohd Nizar Adnan di talian 013-9661892, atau bilik gerakan IPD Gombak 03- 61262222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.