
Beliau berkata polis telah membuka kertas siasatan, namun bapa kepada pelajar lelaki itu enggan meneruskan tindakan perundangan.
“Kita terima laporan polis mengenai kes berkenaan dengan mangsa sendiri tampil membuat laporan.
“Kita juga sudah memanggil semua pihak yang terbabit termasuk ibu bapa dan kawan-kawannya untuk siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini, menurut Berita Harian.
Rakaman video berdurasi 13 saat itu memaparkan sekumpulan pelatih lelaki mengangkat seorang rakan mereka dalam keadaan kaki terkangkang dan menghentaknya ke tiang, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai kemungkinan ia kes buli.
Minggu lalu, tular sebuah video memaparkan kekasaran oleh sekumpulan pelajar IKBN Miri yang dilaporkan mengasari rakan mereka.
Berikutan kejadian itu, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail semalam dilaporkan berkata, polis akan membuka kertas siasatan jika ada laporan rasmi atau terdapat unsur jenayah dalam insiden itu.
Sementara itu, Mancha berkata pihaknya turut menghantar mangsa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasilnya mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal pada pelajar terbabit.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian ini lebih kepada gurauan yang keterlaluan dan mangsa serta bapanya menyatakan tidak mahu meneruskan tindakan undang-undang,” katanya.