
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, operasi itu membabitkan 279 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk JBPM, polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut dibantu orang awam.
“Pencarian dibuat di Sektor A (lokasi kejadian) dari Menara Sapura sehingga jambatan lama Kampung Teladas seluas 6.3km.
“Sektor B pula bermula dari belakang Sekolah Menengah Ayer Putih menghala Ladang Jagung di Pos Kawalan Hadapan sehingga ke perangkap sampah Sungai Pinang,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, khidmat anjing pengesan K9 dan unit dron turut digunakan di Sektor A dan B, manakala Sektor C hanya membabitkan pemantauan menggunakan bot kerana JBPM sudah melengkapkan pencarian di kawasan itu.
“Kami akan pecahkan kepada 14 kumpulan terdiri daripada 279 anggota. Setiap kumpulan akan diketuai seorang pegawai di setiap lokasi pencarian.”
Perkelahan 10 individu, termasuk sembilan sekeluarga di Jeram Air Putih pada Sabtu lalu bertukar tragedi apabila mereka dihanyutkan arus deras kepala air.
Setakat ini, lapan mangsa ditemui lemas, termasuk dua mangsa pertama yang ditemui Ahad lalu, iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.