4 maut, 6 hilang bot karam di Pantai Belawai

4 maut, 6 hilang bot karam di Pantai Belawai

Kejadian babit bot fiber bawa 17 penumpang warga Indonesia dari Jeti Nelayan Kampung Belawai menuju ke Jeti Ladang Kelapa Zion Pelita.

Pencarian dilakukan di permukaan air dalam radius 3km dari lokasi bot karam dengan bantuan pelbagai agensi termasuk polis, APMM, Sarawak Coast Guard, Rela dan penduduk kampung. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Empat orang maut manakala enam lagi hilang selepas sebuah bot fiber karam di perairan Pantai Belawai dekat Kampung Belawai, Mukah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 2.11 petang membabitkan bot membawa 17 penumpang warga Indonesia dari Jeti Nelayan Kampung Belawai menuju ke Jeti Ladang Kelapa Zion Pelita.

Beliau berkata, empat mangsa ditemukan meninggal dunia, iaitu dua wanita, seorang budak lelaki dan seorang budak perempuan.

Sementara itu, katanya, tujuh mangsa berjaya diselamatkan, iaitu empat lelaki, dua wanita dan seorang budak lelaki.

“Enam lagi mangsa masih belum ditemukan, terdiri daripada lima lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya, lapor Bernama.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejurus pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis tiba di lokasi pada 3.12 petang, dengan satu jentera FRT, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot penyelamat.

Jurucakap berkata, pencarian dilakukan di permukaan air dalam radius 3km dari lokasi bot karam dengan bantuan pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Sarawak Coast Guard, Rela dan penduduk kampung.

Operasi bagaimanapun terpaksa ditangguhkan pada 6 petang berikutan cuaca gelap dan akan disambung esok pagi bersama Pasukan Penyelam (PPDA) Zon Bomba Sibu dan Betong.

Komander Pasukan Keluaran Operasi PBK I Adam Gauk memaklumkan, siasatan awal mendapati bot tersebut turut membawa barangan keperluan harian ke jeti pekerja ladang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.