Jangka ribut tropika, Selangor sedia 1,173 PPS tampung mangsa

Jangka ribut tropika, Selangor sedia 1,173 PPS tampung mangsa

Lebih 200 bot turut ditempatkan di lokasi strategik di seluruh negeri untuk bantu operasi SAR, hantar bantuan, kata menteri besar.

pps
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari gesa orang ramai patuhi arahan pemindahan dan daftar diri di PPS berhampiran jika terkesan dengan ribut tropika dijangka melanda. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 1,173 pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor, merangkumi sekolah, dewan orang ramai dan masjid, sedia digunakan, susulan makluman Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai Ribut Tropika Senyar yang dijangka membadai negeri ini.

Menteri Besar Amirudin Shari memaklumkan, kesemua PPS ini mampu menampung sehingga 244,000 mangsa banjir.

Menurutnya, 344 aset kenderaan, termasuk pacuan empat roda dan lori berat, serta 227 buah bot telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik di seluruh negeri bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta penghantaran bantuan.

“Ini (akan) menjadi kali pertama Selangor berhadapan dengan ribut tropika,” kata Amirudin dalam kenyataan.

“Kerajaan negeri telah membuat beberapa persiapan untuk menghadapi bencana mencabar ini, termasuk mengaktifkan semua jentera (pada) peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan.”

Dalam pada itu, Amirudin berkata, 45 stesen amaran siren di seluruh negeri akan turut diaktifkan sekiranya paras air mencecah tahap bahaya.

“Sekiranya siren di kawasan perumahan anda dibunyikan dan arahan pemindahan diberikan, patuhi arahan pemindahan tersebut dan daftarkan diri anda sekeluarga di PPS terdekat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) telah diarahkan supaya berada dalam keadaan siap siaga serta mengaktifkan bilik gerakan bencana masing-masing bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, keselamatan awam kekal menjadi keutamaan.

Beliau turut menyeru orang ramai agar mengutamakan keselamatan keluarga, mengelakkan kegiatan luar yang berisiko serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan.

“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, saya menyeru semua untuk sentiasa berwaspada, khususnya di kawasan yang berisiko berlakunya hujan lebat berterusan, angin kencang dan banjir kilat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Zaliha turut menyarankan orang ramai agar sentiasa peka dengan maklumat cuaca dan amaran rasmi daripada MetMalaysia menerusi laman web dan saluran media sosial agensi itu.

Terdahulu, Ketua Pengarah MetMalaysia Hisham Anip memaklumkan, tempoh 24 jam akan datang adalah kritikal bagi Kuala Lumpur, Selangor dan sebahagian Pahang, memandangkan ribut tropika itu dijangka melintasi kawasan tersebut sebelum bergerak merentasi bahagian lain negara ini.

Beliau berkata, taburan hujan antara 200mm hingga 300mm dijangka turun dalam tempoh berkenaan.

Hujan bagaimanapun diramal reda menjelang Ahad apabila ribut bergerak menuju ke Laut China Selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.