
Ketua Polis Klang Utara S Vijaya Rao berkata, kegagalan memakai jaket keselamatan turut menyukarkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) dua daripada enam mangsa yang masih hilang.
“Mereka yang menjalankan aktiviti di laut perlu memakai jaket keselamatan kerana ia amat penting ketika kecemasan seperti kejadian bot terbalik, selain memiliki kemahiran berenang,” katanya pada sidang media di lokasi pencarian, lapor Bernama.
Vijaya berkata, lokasi bot terbalik telah dikenal pasti, namun arus laut yang kuat dipercayai menghanyutkan dua mangsa yang masih hilang ke kawasan lain sebelum tenggelam.
Dalam pada itu, katanya, polis telah merakam keterangan daripada tiga individu, termasuk seorang mangsa yang terselamat.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan, tambahnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala seorang terselamat dan sepasang suami isteri masih hilang.
Mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenal pasti sebagai Darren Gan, 3; Cheu Son Hin, 50; dan Fong Yong Sen, 29, manakala mangsa yang hilang Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, kedua-duanya berasal dari Klang Utama.
Remaja berusia 17 tahun, Alvin Chang Yan Qin, selamat.
Awal hari ini dilaporkan kejadian dipercayai berlaku Ketika bot yang baru dibaiki itu sedang dipandu uji dari Royal Selangor Yacht Club, Kawasan 14, Pelabuhan Klang.
Pemilik bot membawa keluarga dan rakannya dalam perjalanan pandu uji itu, menurut Pengarah Maritim Selangor Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.