
“Beroperasi dari lot kedai, isu utama bagi pelanggan adalah tempat meletak kenderaan,” katanya kepada FMT.
“Kami mahu melayan lebih ramai orang dan menerokai pasaran yang kurang mendapat liputan di luar Taman Desa, dan tidak hanya mengehadkan capaian kami dalam lingkungan 1km radius sahaja.”
Dengan bantuan pembekal logistik pihak ketiga atau 3PL, Charlie’s Cafe dapat meluaskan capaian dan melayani pelanggan sejauh 5km.
“Melalui platform seperti Grab, kami lebih menonjol dan dapat menyantuni lebih ramai pelanggan.
“Platform ini kebiasaannya mempunyai kempen-kempen promosi dan tawaran-tawaran, jadi ia membantu kami menarik pelanggan mencuba menu kami,” katanya.
Desonny, antara pemilik perniagaan berskala kecil yang memanfaatkan 3PL untuk melonjakkan perniagaannya.
Logistik pacu pertumbuhan e-dagang
Nick Chong dari Pusat Pendidikan Pasaran berkata perniagaan kecil mendapat faedah besar daripada 3PL, seperti Shopee, Lazada, dan Grab.
“Sebelum ini, perniagaan ini terhad kepada operasi secara fizikal, iaitu melayani pelanggan secara bersemuka di dalam premis, berbanding dalam talian.
“Mereka kini boleh menjual barangan ke mana-mana sahaja, bukan saja di dalam Malaysia malah di luar negara menerusi platform ini,” katanya.
Pada 2021, jualan e-dagang di Malaysia mencecah RM31.9 bilion, menurut firma analisis GlobalData.
Pasaran e-dagang dianggarkan mencatat pertumbuhan 16.1% antara 2022 dan 2026, di landasan untuk mencapai nilai keseluruhan RM69.3 bilion pada 2026.
Chong berkata, platform ini memperkasakan peniaga untuk berkembang maju dengan membolehkan mereka mencapai skala ekonomi, melalui pesanan lebih besar dan pada masa sama mengurangkan kebimbangan mengenai penghantaran dan khidmat pelanggan.
Platform ini juga menawarkan panduan berharga mengenai kastam, gudang, tahap inventori, dan analisis data.
Beliau berkata ini penting bagi kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana kerana mereka sering kekurangan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang terbabit.
“Pemain logistik besar seperti Shopee, Lazada, dan Grab juga mempunyai kapasiti untuk membantu perniagaan berkembang ke pasaran antarabangsa,” katanya.
‘Pemain besar, peluang besar’
Syarikat 3PL, terutama pemain industri lebih besar, telah menyelesaikan masalah logistik untuk para peniaga, iaitu perbatuan pertama dan terakhir, termasuk menembusi kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
“Pemain utama, khususnya, bukan sahaja menangani jurang dalam pengangkutan dan penghantaran, tetapi juga dalam pembungkusan, pergudangan, dan memenuhi pesanan; sekaligus menjadi penyelesaian sehenti,” kata seorang pemain industri logistik, yang enggan dinamakan.
Sumber itu berkata pemain besar membawa bersama “peluang besar”, seperti penciptaan pekerjaan hingga pemindahan pengetahuan dan teknologi.
“Tetapi persoalan utama ialah sama ada ekosistem kita membenarkan sepenuhnya pemain besar memaksimumkan potensi mereka.
“Ini sesuatu yang kerajaan mesti teliti kerana industri logistik dan e-dagang yang mampan penting untuk pemulihan ekonomi. Kita tidak boleh lepaskan peluang ini.”