JD.com mahu kembang perniagaan, teroka bidang logistik di Malaysia, kata Anwar

JD.com mahu kembang perniagaan, teroka bidang logistik di Malaysia, kata Anwar

Perdana menteri berkata hasrat syarikat e-dagang dan logistik terkemuka China itu buka lebih peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

JD dot com
JD.com adalah peruncit e-dagang terbesar di China yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 580 juta orang yang membeli-belah di negara itu. (Gambar JD.com)
BEIJING:
Syarikat peruncit e-dagang dan logistik terkemuka China, JD.com menyatakan hasrat untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia terutamanya dalam sektor logistik, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Saya menyambut baik hasrat ini, mengambil kira kedudukan strategik Malaysia yang berpotensi muncul sebagai hab logistik serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Anwar berkata JD.com juga berhasrat membeli lebih banyak produk Malaysia untuk dipasarkan di China.

Terdahulu, perdana menteri yang sedang dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke China, mengadakan pertemuan perniagaan dengan pihak pengurusan tertinggi syarikat berkenaan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif JD Logistics merangkap Ahli Eksekutif Strategi, Hu Wei.

JD.com yang tersenarai di NASDAQ 100 dan syarikat Fortune Global 500, adalah peruncit e-dagang terbesar di China yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 580 juta orang yang membeli-belah di serata negara itu.

Syarikat dipacu teknologi itu mengendalikan infrastruktur penunaian pesanan terbesar di China yang membolehkan 90 peratus pesanan dihantar pada hari sama atau berikutnya.

Selesai pertemuan dengan JD.com, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan perbincangan dengan barisan pimpinan Persatuan Industri Semikonduktor China (CSIA) diketuai Pengerusinya Chen Nanxiang.

“Dalam pertemuan ini, saya tegaskan iltizam Malaysia untuk menjadi pemain utama semikonduktor global, seperti yang digariskan dalam Strategi Semikonduktor Nasional (NSS),” kata beliau.

CSIA merupakan badan induk yang menaungi lebih 1,400 syarikat semikonduktor China.

“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, kerajaan Madani akan terus menarik pelaburan berkualiti, meneroka peluang baharu dan membangunkan sektor strategik demi kemakmuran rakyat dan masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” kata Anwar.

Turut hadir pada mesyuarat perniagaan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.