
Beliau berkata dana di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu bertujuan mengukuhkan serta memodenkan sektor pos supaya kekal relevan, mampan dan berdaya saing dalam era komunikasi digital dan e-dagang.
“Tidak dapat dinafikan bahawa walaupun kita bercakap tentang perkembangan e-dagang dan ekonomi digital, hubungan antara manusia masih dilengkapi dengan penghantaran surat dan bungkusan,” katanya pada sambutan Hari Pos Sedunia di Pusat Mel Nasional Pos Malaysia di sini.
Fahmi berkata dana itu juga akan membantu Pos Malaysia menyalurkan perkhidmatan penting ke kawasan yang tidak menguntungkan secara komersial serta memastikan capaian ke kawasan yang terpencil.
“Setiap negara mempunyai satu entiti yang bertanggungjawab memastikan surat dan bungkusan sampai ke seluruh pelosok negara. Di Malaysia, tanggungjawab itu dipikul oleh Pos Malaysia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan sedang meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012 bagi menjadikannya lebih menyeluruh dan bersedia menghadapi cabaran masa depan, supaya undang-undang itu seiring dengan perubahan semasa dalam dunia digital dan e-dagang.
Katanya, pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen pertengahan tahun depan, merangkumi aspek kelestarian industri, kebajikan pekerja.
Selain itu, penambahbaikan dari segi kejelasan undang-undang berkaitan lesen kurier dan pos di bawah SKMM.
Fahmi turut memaklumkan SKMM menerima lebih 4,000 aduan berkaitan perkhidmatan kurier dari 1 Jan hingga 15 Sept tahun ini, dengan lebih 50% hingga 60% daripadanya melibatkan kelewatan penghantaran.
Namun, beliau menjelaskan bahawa tiada satu pun aduan itu melibatkan Pos Malaysia.
“Pos Malaysia terus menepati masa dalam penghantaran,” katanya sambil menambah bahawa syarikat itu mencatatkan kadar kepuasan pelanggan sebanyak 91%, berbanding 82% bagi keseluruhan sektor kurier.
Beliau berkata Pos Malaysia menunjukkan prestasi lebih baik berbanding purata industri dengan kadar kepuasan pelanggan 91%, berbanding 82% bagi sektor kurier keseluruhan.
Fahmi berkata Pos Malaysia kini sedang menguji penghantaran surat secara selang sehari sebagai sebahagian daripada pelan transformasinya.
“Ia untuk menyesuaikan diri dengan penurunan jumlah surat tradisional dan peningkatan penghantaran bungkusan susulan pertumbuhan e-dagang,” katanya.